Anda di sini

Tentera pro-Ortega serang kubu kuat pembangkang

Advertisement
 Anggota Pasukan Khas meronda jalan raya selepas pertempuran dengan penunjuk perasaan anti-Ortega di kawasan kejiranan Monimbo di Masaya, Nicaragua kelmarin. — Gambar Reuters
RONDA: Anggota Pasukan Khas meronda jalan raya selepas pertempuran dengan penunjuk perasaan anti-Ortega di kawasan kejiranan Monimbo di Masaya, Nicaragua kelmarin. — Gambar Reuters

MASAYA: Tentera yang setia kepada Presiden Nicaragua, Daniel Ortega, melancarkan serangan terancang ke atas sebuah kubu kuat pembangkang kelmarin, manakala seruan antarabangsa meningkat agar keganasan berdarah selama berbulan-bulan dihentikan di negara Amerika Tengah itu.

Serangan ke atas bandar Masaya dilancarkan selepas kepungan berdarah ke atas pelajar yang menunjuk perasaan dan mencari perlindungan di dalam sebuah gereja di ibu negara Managua pada hujung minggu lepas, yang membayangkan Ortega sedang mempertingkatkan penggunaan kekerasan untuk mematahkan penentangan.

Kerajaannya berkata ia sedang menjalankan “pembebasan” bandar dan kota raya di mana penunjuk perasaan bergerak aktif.

Anggota polis dan unit separa tentera yang memakai penutup muka dan membawa raifal serangan kelmarin menutup semua jalan menuju ke kawasan kejiranan Monimbo di Masaya, dari mana bunyi tembakan kedengaran.

Video yang dipaparkan dalam media sosial menunjukkan pemberontak di dalam Monimbo membalas tembakan, ada yang menggunakan bom mortar buatan sendiri.

Ketua Pusat Hak Asasi Manusia Nicaragua, Vilma Nunez, berkata sekurang-kurangnya dua orang maut – seorang wanita dewasa dan seorang anggota polis.

Media kerajaan mengesah-kan kematian anggota polis tersebut tetapi tidak meng-umumkan kematian lain dalam serangan yang berlaku.

Sekumpulan wartawan, termasuk AFP, yang cuba memasuki Monimbo bagi mengesahkan situasi ditembak oleh lelaki bersenjata yang prokerajaan untuk menghalang mereka daripada mendekatinya.

Lebih 1,000 lelaki yang melepaskan tembakan dengan senjata automatik memasuki bandar dengan 100,000 penduduk itu awal kelmarin, kata penduduk.

“Mereka menyerang kami dari pelbagai pintu masuk di Monimbo,” kata Cristian Fajardo, seorang ketua pergerakan protes pelajar, dalam satu pesanan WhatsApp.

“Mereka menyerang Monimbo! Peluru sampai ke gereja paroki Maria Magda-lena di mana paderi dilindungi,” tulis Uskup Agung Silvio Baez dalam Twitter.

“Semoga Daniel Ortega menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini! Rakyat Monimbo, saya merayu kepada anda, selamatkan diri anda!”

Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada Ortega untuk tidak meneruskan serangan ke atas Masaya. Ia menuntut dihentikan tindakan berdarah ke atas protes antikerajaan yang sudah mengorbankan kira-kira 280 orang sejak tiga bulan lalu.

“Kami dengan tegas menggesa Preside Ortega untuk tidak menyerang Masaya,” tweet Francisco Palmieri, timbalan penolong utama setiausaha negara AS bagi hal ehwal hemisfera Barat.

“Keganasan dan pertumpahan darah yang terus dihasut oleh kerajaan di #Nicaragua mesti ditamatkan dengan segera. Dunia sedang melihat.”

“Mereka menembak rumah dengan cara yang tidak bertanggugjawab. Mesejnya ialah sesiapa yang menonjol-kan kepala akan dibunuh: ia adalah mesej keganasan,” kata Alvaro Leiva, setiausaha Persatuan Hak Asasi Manusia Nicaragua (ANPDH).

Operasi itu menyusuli minggu yang ganas di Nicaragua di mana pelajar dan kumpulan pembangkang yang menuntut penggulingan Ortega mengalami serangan beberapa kali di tengah-tengah tindakan sivil yang berleluasa.

Sepuluh hari lalu, sekurang-kurangnya 14 orang maut – empat daripada mereka anggota polis atau unit separa tentera – selepas satu serbuan oleh tentera prokerajaan di dalam kawasan-kawasan Diriamba dan Jinotepe, berhampiran Masaya.

Pada minggu lepas, lima orang – empat daripada mereka anggota polis – maut dalam pertelingkahan di antara penyokong pembang-kang dengan polis yang disokong oleh pasukan separa tentera di bandar tenggara Morrito manakala satu lagi operasi oleh tentera yang setia kepada Ortega berakhir dengan sekurang-kurangnya 10 kematian - termasuk empat anggota polis – pada Ahad lepas di Masaya.

Pada Isnin lepas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres menggesa agar keganasan ditamatkan dan dialog tertangguh disambung semula dengan pembangkang.

Di Brussels, Paul Oquist – menteri dasar kebangsaan Nicaragua dan salah seorang ahli kabinet yang paling rapat dengan Ortega – memberitahu AFP dalam satu temu bual kelmarin bahawa satu usaha “rampasan kuasa” telah berjaya dipatahkan.

“Itu adalah berita yang sangat baik kerana dengan itu ia meninggalkan ruang untuk dialog, kerana perancang kudeta tidak mahukan dialog,” kata Oquist. — AFP

Advertisement