Anda di sini

Program Cradle menyumbang RM3.4 bilion kepada KDNK

Advertisement

KUALA LUMPUR: Program Pelaburan Dana Cradle telah menyumbang RM3.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mencipta 80,600 pekerjaan sepenuh masa dan berjaya menarik RM1.3 bilion pelaburan swasta dan asing sejak ia diperkenalkan pada tahun 2008, kata penyelia dana teknologi, Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle, Razif Abdul Aziz berkata sejak penubuhannya Cradle telah membiayai lebih daripada 800 pemula niaga berasaskan teknologi dan telah membangunkan jaringan pemula niaga rantau ini sehingga berkembang dengan ketara.

“Hari ini kita boleh lihat bagaimana pemula niaga ini berkembang menjadi lebih baik, lebih bermaklumat dan mempunyai jaringan yang luas.

“Tetapi cabaran yang bakal mereka hadapi akan menjadi lebih besar kerana dunia hari ini semuanya berdasarkan teknologi digital,” kata Razif dalam ucapannya pada seminar Cradle Buzz 2018 dan sambutan ulang tahun Cradle ke-15, di sini semalam.

Razif berkata Cradle di bawah 15 tahun pimpinan mantan CEO, Allahyarham Nazrin Hassan telah membiayai dana awal pemula niaga yang kini telah pun menyaksikan kejayaan seperti syarikat MyTeksi (Grab), iMoney dan iPay88.

Katanya, Cradle dengan kerjasama Help Universiti telah menjalankan kajian impak Program Pelaburan Dana Cradle bagi tempoh 2008 - 2016 dan laporan penuh mengenainya akan diumumkan tidak lama lagi.

Persidangan satu hari Cradle Buzz 2018 itu telah dirasmikan oleh Pengarah Unit Strategik Kebangsaan Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Ia menyaksikan penyertaan 305 pelabur dan usahawan syarikat pemula niaga yang membincangkan pelbagai topik berkaitan dengan idea, hala tuju dan kedudukan syarikat-syarikat baharu. — Bernama

Advertisement