Anda di sini

Pekerja didakwa sebabkan kebocoran tong gas klorin

Advertisement
 Chai dibawa keluar oleh anggota polis di Mahkamah Majistret semalam, atas dakwaan menyebabkan kebocoran tong gas klorin hingga membahayakan nyawa penduduk Kampung Tambak paya tahun lepas. — Gambar Bernama
DIDAKWA: Chai dibawa keluar oleh anggota polis di Mahkamah Majistret semalam, atas dakwaan menyebabkan kebocoran tong gas klorin hingga membahayakan nyawa penduduk Kampung Tambak paya tahun lepas. — Gambar Bernama

MELAKA: Seorang pekerja syarikat barangan lusuh dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dakwaan menyebabkan kebocoran tong gas klorin hingga membahayakan nyawa penduduk Kampung Tambak Paya di sini, tahun lepas.

Chai Boon Wua, 23, sebagai orang kena saman, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Dia didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kebocoran sebuah tong gas klorin No. ABCT 592 hingga membahayakan nyawa penduduk di kawasan Kampung Tambak Paya akibat terhidu gas yang beracun.

Chai didakwa melakukan  kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di kampung itu pada kira-kira jam 3.30 petang, 28 September  2017 mengikut Seksyen 284 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria menawarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan tawaran itu tidak dibantah peguam Foo Qiao Wei yang mewakili Chai.

Mahkamah membenarkan Chai diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Ogos ini untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement