Anda di sini

Speaker halau MP Bukit Gelugor Ramkarpal dari Dewan Rakyat

Advertisement
 Ramkarpal Singh bercakap pada sidang media ringkas selepas berlaku sedikit kekecohan yang melibatkan beliau pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto Bernama
Ramkarpal Singh bercakap pada sidang media ringkas selepas berlaku sedikit kekecohan yang melibatkan beliau pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh hari ini mencipta sejarah apabila menjadi wakil rakyat pertama dari kerajaan yang diarahkan keluar Dewan Rakyat dan digantung, kerana mengingkari arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Mohamad Ariff membuat keputusan itu mengikut Peraturan Mesyuarat 44(2) setelah persidangan dewan bersambung pada sebelah petang kerana Ramkarpal enggan menarik balik perkataan ‘gangster’ yang dilemparkan kepada pemuda UMNO semasa mencelah Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul yang membahaskan titah ucapan Yang di-Petuan Agong hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Ariff tidak menyatakan tempoh penggantungan Ramkarpal.

"Saya beri amaran pertama, (sila) tarik balik. Kita ingin meneruskan dengan ucapan (perbahasan) Sungai Petani. Anda Hormat. Ini adalah perjalanan mesyuarat hari ini . Tarik balik…..Bentara, sila jalankan tugas,” kata Mohamad Ariff merujuk kepada perintah membawa keluar Ramkarpal. 

Ketika ditemui media di ruang legar Parliament, Ramkarpal tidak berganjak mengatakan bahawa beliau tidak melakukan kesalahan dan mendakwa speaker pada sesi pagi  iaitu Timbalan  Speaker  Datuk Mohd Rashid Hasnon telah membuat keputusan  dengan hanya memberi  amaran tanpa mengarahkannya keluar.

“Keputusan telah dibuat sebelumnya oleh (timbalan) speaker (Rashid) pagi ini. Jadi Peraturan Mesyuarat (Standing Order) adalah jelas, jika keputusan telah dibuat dan sekiranya  tidak bersetuju  boleh mengemukakan cadangan.

“Speaker tidak boleh membuat keputusan lain  mengatasi keputusan yang  telah dibuat,” tambah beliau. - Bernama
 

Advertisement