Anda di sini

Kajian harga tiket penerbangan domestik diselesaikan akhir bulan ini

Advertisement
Pesawat MAS dan AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto fail AFP


KUALA LUMPUR: Kajian mengenai penetapan harga tiket penerbangan domestik pada musim perayaan dijangka dapat diselesaikan akhir bulan ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook

Katanya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) kini di peringkat akhir dalam memuktamadkan penetapan harga berkenaan.

“Satu kajian menyeluruh sedang dimuktamadkan, kita belum memastikan pendekatan harga siling atau pendekatan lain tapi pokoknya apa-apa keputusan dasar yang dibuat tidak memberi impak negatif kepada rakyat.

“Tidak ada gunanya kita menetapkan kadar siling semasa musim perayaan tetapi pada hari-hari biasa tiket kapal terbang itu tidak dapat dikawal,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bahru), yang ingin tahu adakah harga siling tiket penerbangan musim perayaan dapat dilaksanakan, pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, semasa menjawab soalan  asal Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) mengenai harga tiket penerbangan domestik MASwings di Sarawak, Loke berkata ia akan dilaksanakan melalui penetapan satu kadar tambang tanpa caj-caj lain yang dikenakan operator seperti surcaj bahan api.

"Siling tersebut akan dikaji semula dengan lebih kerap dan ia ditetapkan berdasarkan persetujuan bersama di antara Kementerian Pengangkutan, Mavcom dan MASwings mengikut keperluan semasa," katanya. - Bernama
 

Advertisement