Anda di sini

Dua rakan didakwa bunuh pemandu Grab

Advertisement
 Sua Lay (dua kiri) dan Gurpreet (dua kanan) dihadapkan Mahkamah Majistret Selayang semalam atas pertuduhan membunuh Aiman bulan lalu. — Gambar Bernama
KE MUKA PENGADILAN: Sua Lay (dua kiri) dan Gurpreet (dua kanan) dihadapkan Mahkamah Majistret Selayang semalam atas pertuduhan membunuh Aiman bulan lalu. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang warga Myanmar dan seorang warga India didakwa di Mahkamah Majistret, Selayang di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang pemandu Grab,bulan lepas.

Sua Lay, 33, pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Gurpreet Singh, 23, masing-masing mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua lelaki itu kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua  lelaki itu yang masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai sayur dan kelindan lori didakwa dengan niat bersama-sama membunuh pemandu Grab, Aiman Nosri, 27, di tempat letak kereta, lorong belakang Blok C di Taman Selayang Makmur, Selayang Baru ,Batu Caves di sini, pada 10.08 malam, 21 Jun lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Muhamad Amin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan  27 Ogos untuk sebutan semula kes bagi laporan forensik dan perubatan.

Sebelum ini media melaporkan mayat mangsa yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan, ditemui pada 23 Jun lepas pada 8.20 malam itu berada dalam keadaan terlingkup dengan bahagian kepala mengenai lantai kenderaan tersebut, manakala kakinya di atas. — Bernama

Advertisement