Anda di sini

Syarikat langgar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, didenda RM110,000

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Sebuah syarikat berasaskan pembalakan dikenakan denda sebanyak RM110,000, atas kesalahan melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Hakim Mahkamah Sesyen Ainul Mohamad Shahrin mengenakan hukuman itu terhadap wakil syarikat terbabit, yang mana hari ini untuk jatuh hukum.

Sebelum ini, syarikat berkenaan mengekalkan pengakuan bersalah, melepaskan minyak bahan api yang melimpah dari ‘MFO Shore Tank’, ke dalam perairan negara, laut Teluk Brunei.

Perbuataan berkenaan dilakukan tanpa lesen daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Kesalahan dilakukan pada 10 Ogos 2015 jam 9.40 pagi, di premis syarikat terbabit, Jalan Jeti, daerah Sipitang.

Syarikat berkenaan didakwa mengikut Seksyen 27 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dihukum mengikut Seksyen 27 (2) akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan, denda maksimum RM500,000 atau penjara selama tempoh lima tahun, atau kedua-duannya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Hashim Awang dari Jabatan Alam Sekeliling (JAS) menyatakan, pihaknya menerima aduan daripada tiga nelayan tempatan.

Beliau turut mengemukakan permohonan Perintah Bayaran Pampasan, mengikut Seksyen 46 E Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Bagaimanapun wakil peguam bela daripada syarikat terbabit membidas, hal terbabit mengikut budi bicara mahkamah dan bukannya mandatori.

Tambahnya, para nelayan terbabit harus menunjukkan kerugian mereka yang disebabkan oleh perbuataan syarikat berkaitan.

Ainul memerintahkan syarikat terbabit membayar pampasan kepada tiga nelayan berkenaan, sebanyak RM12,003.62.

  • oleh
  • Advertisement