
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk mengaktifkan semula Jawatankuasa Pembanterasan Pembalakan Haram di Jabatan Ketua Menteri.
Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keputusan tersebut selaras dengan apa yang diperuntukkan di bawah Enakmen Hutan 1968.
"Usaha ini dapat memperkasakan lagi pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang di dalam melindungi sumber hutan negeri ini daripada eksploitasi.
"Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa kepada semua syarikat pembalakan yang beroperasi di Sabah untuk mematuhi syarat-syarat lesen pembalakan, peruntukan-peruntukan Enakmen Hutan 1968 dan Kaedah-kaedah Hutan 1969," kata beliau.
Jelasnya, keputusan tersebut perlu diambil tindakan proaktif bagi tujuan penambahbaikan kepada usaha-usaha yang telah diambil oleh kerajaan agar pengurusan hutan yang lebih menyeluruh, efektif dan berkesan dan juga supaya manfaat serta faedah dapat juga dirasai oleh seluruh rakyat jelata.-Penerangan.