Anda di sini

Wakil GPS bebas bersuara

Advertisement
 Abang Johari dan isteri Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang bersama (dari lima kanan) Awang Tengah, Dr Abdul Rahman, Henry, Paulus dan Hasbi (belakang) memasak lemang simbolik perasmian Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Lawas semalam.
RAYA BERSAMA: Abang Johari dan isteri Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang bersama (dari lima kanan) Awang Tengah, Dr Abdul Rahman, Henry, Paulus dan Hasbi (belakang) memasak lemang simbolik perasmian Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Lawas semalam.

LAWAS: Wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh bersuara secara bebas di Parlimen demi memperjuang dan mendapatkan kembali hak-hak Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak sudah mampu untuk membuat keputusan sendiri dan tidak lagi ditentukan oleh pihak luar menerusi amalan ‘whip’ dalam Parlimen yang menidakkan suara wakil rakyat Sarawak.

“GPS akan memberikan kerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH), tetapi tidak akan bersama membentuk pakatan dengan PH.

“Kita (GPS) akan menyokong segala dasar yang baik, tetapi tidak akan menyokong sebarang dasar yang tidak memberi makna kepada Sarawak,” ujarnya pada majlis perasmian Tebingan Sungai Awat-Awat dan Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Daerah Lawas di Awat-Awat, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi.

Abang Johari berkata, perolehan ekonomi Sarawak akan terus dipacu oleh sektor minyak dan gas yang kini berada di bawah bidang kuasa kerajaan Sarawak.

Hasil Sarawak katanya, akan disusun semula dengan lebih strategik untuk menyediakan kemudahan asas yang diperlukan oleh rakyat.

“Justeru, kemudahan seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kemudahan jalan raya yang selama ini mendapat peruntukan kerajaan pusat akan diurus sendiri oleh kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau menambah, perkampungan air Awat-Awat dan Lawas amnya, bakal lebih membangun apabila kawasan Teluk Brunei dibangun berdasarkan potensinya dalam sektor pelancongan, perikanan, pertanian dan petroleum iaitu penapisan minyak di Lawas yang membabitkan pelabur daripada luar negara.

“Sekarang ini kuasa untuk mengurus sumber asli adalah di tangan kita dan kita berhak menentukan dengan siapa kita patut bekerjasama,” katanya sambil menegaskan, kuasa politik, urus tadbir dan hala tuju Sarawak kini diterajui sepenuhnya oleh anak Sarawak sendiri.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan berita gembira kepada warga nelayan di Awat-Awat dengan peruntukan RM738,000 untuk membeli enjin sangkut serta projek pembinaan Tebingan Sungai Awat-Awat seluas 3.3 ekar melibatkan dua fasa pembinaan iaitu RM21 juta untuk fasa pertama dan RM1.5 juta untuk fasa kedua.

“Ini merupakan mercu tanda dan infrastruktur yang boleh melonjakkan ekonomi setempat melalui aktiviti pelancongan, perniagaan dan kegiatan ekonomi lain yang berkaitan dengan industri perikanan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement