Anda di sini

Ronaldo tiba demi mahkota kejuaraan Eropah

Advertisement
RONALDO
RONALDO

MADRID, Sepanyol: Kelab Real Madrid mengumumkan Selasa lepas perpindahan bintang sensasi mereka, Cristiano Ronaldo ke kelab juara Serie A Itali, Juventus, dengan kapten pasukan Portugal itu berkata masa sudah tiba untuk “babak baharu” dalam kehidupannya.

Media Sepanyol melaporkan perpindahan mungkin menyebabkan Juventus membayar 105 juta euro, dengan Ronaldo menandatangani kontrak empat tahun bernilai 30 juta euro semusim.

Pemain berusia 33 tahun itu dijangka tiba untuk pemeriksaan perubatan di Turin minggu hadapan sebelum diperkenalkan secara rasmi oleh kelab.

“Hari ini, Real Madrid mahu berterima kasih kepada seorang pemain yang telah menunjukkan beliau adalah yang terbaik di dunia dan pemain yang meraikan salah satu tempoh paling hebat dalam sejarah kelab dan juga dalam dunia bola sepak,” kata Real Madrid dalam satu kenyataan.

Dalam sepucuk surat dikeluarkan di laman sesawang rasmi Real, pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or berkata masa beliau di ibu kota Sepanyol, di mana beliau menjadi penjaring terbanyak kelab, adalah salah satu yang paling menggembirakan dalam kehidupannya.

“Saya hanya mempunyai ucapan teramat berterima kasih kepada kelab ini, kepada penyokong dan juga bandar rayanya,” kata beliau.

“Tetapi saya fikir masa sudah tiba untuk memulakan babak baharu dalam kehidupan saya dan kerana itu saya meminta kelab untuk menerima perpindahan saya.

“Saya meminta semua orang dan terutama sekali penyokong, untuk memahami keputusan saya.”

Juventus memulakan jadual pramusim mereka dengan satu perlawanan persahabatan menentang Bayern Munich pada 25 Julai di Philadelphia, di mana Ronaldo boleh membuat penampilan sulung kompetetif untuk kelab pada bulan berikutnya dengan Serie A mengumumkan jadual perlawanan untuk musim baharu pada 20 Julai ini.

Ronaldo, di mana kempen beliau bersama Portugal di Piala Dunia 2018 berakhir di pusingan kedua apabila tewas kepada Uruguay, ada membayangkan selepas final Liga Juara-Juara ketika menewaskan Liverpool di mana beliau ada menimbangkan untuk meninggalkan kelab.

“Ia sangat menarik untuk berada di Madrid,” kata beliau ketika itu. Beliau kemudian mengurangkan fokus komen beliau tetapi ramai meragui masa depan beliau di kelab terutama sekali selepas pernah melakukan ancaman yang sama pada tahun sebelumnya.

Walaupun gagal menjaringkan gol ketika menewaskan Liverpool 3-1 di Kiev untuk trofi ketiga berturut-turut, Ronaldo menamatkan kejohanan selaku penjaring terbanyak kejohanan buat kali keenam berturut-turut dengan 15 gol.

Sekarang, Juventus akan berharap beliau mengekalkan kecemerlangan itu untuk beberapa tahun lagi dan akhirnya menamatkan kekecewaan Juventus untuk menjadi juara Eropah buat kali pertama sejak 1996, walaupun menguasai bola sepak domestik untuk tujuh musim berturut-turut.

Juventus, yang dibimbing Massimiliano Allegri, memenangi kejuaraan Serie A Itali buat kali ketujuh berturut-turut dengan menangani saingan kuat Napoli tetapi tewas kepada Real di suku akhir Liga Juara-Juara dengan Ronaldo menamatkan sebarang kebangkitan Juventus menerusi tendangan penalti lewat.

Ronaldo juga menjaringkan dua gol ketika menewaskan Juventus 4-1 di final 2016.

Yuran perpindahan Ronaldo adalah yang terbesar dibayar untuk seorang pemain melebihi usia 30 tahun, tetapi Juventus bertaruh harapan di mana Ronaldo masih mampu mempamerkan kelestarian yang sama seperti bekas penjaga gol mereka, Gianluigi Buffon, 40, yang berpindah ke Paris Saint Germain (PSG) minggu lepas.

Tetapi mereka bukan sahaja yang berharap kepada salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman, dengan saham Juventus melonjak hampir  40 peratus sejak khabar angin kehadiran Ronaldo muncul kali pertama pada 28 Jun, dan naik 5.7 peratus pada hari Selasa sahaja.

Ronaldo memenangi dua kejuaraan La Liga dan empat trofi Liga Juara-Juara bersama Real selepas tiba dari Manchester United pad 2009 untuk rekod dunia 80 juta pound ketika itu.

Pemain sayap itu beralih ke posisi penyerang tengah dan menjaringkan banyak gol cantik dari 451 gol untuk Real Madrid dalam hanya 438 perlawanan, mengatasi rekod lama 323 gol yang dipegang Raul.

“Ia adalah sembilan tahun yang unik,” tambah Ronaldo.

“Ia merupakan masa yang hebat bagi saya, penuh penghormatan tetapi juga sukar kerana Real Madrid mempunyai jangkaan yang tinggi tetapi saya sangat menyedarinya saya tidak akan lupa di mana saya cukup gembira beraksi di sini dengan cara yang unik.”

Serie A akan menjadi kelab ketiga dari empat liga terbesar di Eropah yang menerima Ronaldo dan perpindahan beliau menunjukkan bahawa tiada keazaman dan cita-cita beliau berkurangan di lewat kariernya.

Beliau juga berharap untuk menjadi peneraju dalam saingan peribadi dengan penyerang Barcelona, Lionel Messi untuk anugerah paling banyak Ballon d’Or, walaupun peminat bola sepak akan melihat kurang saingan dalam La Liga seperti kebiasaannya. — AFP

Advertisement