Anda di sini

Rompak pelancong: Pengawal kena sembilan tahun, satu sebat

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang pengawal keselamatan dikenakan penjara sembilan tahun dan satu sebat, atas kesalahan merompak seorang pelancong wanita warga asing.

Muhammad Ali Edi, 26, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Mahkamah Sesyen Ainul Shahrin Mohamad, selepas mengaku salah mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Tertuduh merompak mangsa seorang warganegara Rusia, pada 5 Julai jam 6 petang, di tepi bangunan Zara's Hotel, Jalan Coastal Harbour City, di sini.

Jika sabit salah, boleh dikenakan penjara selama tempoh 14 tahun dan denda, atau sebat.

Mengikut fakta kes yang dibacakan, kejadian berlaku ketika pengadu dan ibunya pergi ke pusat membeli-belah Imago.

Tiba-tiba tertuduh yang datang dari arah bertentangan, bertindak merampas beg tangan pengadu, pergelutan berlaku namun tertuduh berjaya melarikan diri ke arah kawasan Sembulan.

Seorang saksi yang melihat kejadian segera mengejar tertuduh, turut membantu beberapa orang awam.

Tertuduh berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis, untuk tindakan lanjut.

Ketika kawad cam dijalankan, pengadu dan beberapa saksi dapat mengecam tertuduh sebagai suspek yang melakukan rompakan terbabit.

Semasa rayuan, Muhammad Ali yang tidak diwakili peguam menyatakan mempunyai dua anak yang masih kecil.

"Saya juga menanggung seorang adik yang masih bersekolah. Mohon hukuman saya diringankan," katanya.

Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip yang mengendalikan pendakwaan berkenaan, meminta hukuman berat dikenakan ke atas Muhammad Ali.

Beliau menyatakan hukuman berat harus dijatuhkan, dengan mengambil kira kekerapan jenayah seperti itu yang sering berlaku, disamping melibatkan seorang pelancong luar negara.

  • oleh
  • Advertisement