Anda di sini

Program pemvaksinan anti-rabies di Serian hari ini

Advertisement
 

KUCHING: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak memulakan program pemvaksinan anjing di Kampung Bunan Gega, Mongkos di Serian hari ini bagi mengekang serta mencegah penularan penyakit anjing gila.

“Kita berharap untuk memvaksin kesemua anjing di bahagian Serian, melibatkan lebih 10,000 ekor anjing dan kita berharap semua anjing, khususnya anak-anak yang baru dilahirkan (dapat divaksin),” kata pemangku pengarahnya, Dr Adrian Susin Ambud (foto).

Dr Adrian berkata anjing yang sudah divaksin akan diberikan sijil vaksinasi serta tanda pengenalan.

“Sijil itu akan menjadi rujukan sama ada anjing sudah disuntik atau belum apabila berlaku sebarang kes,” kata Dr Adrian.

Menurut beliau, adalah menjadi satu kesalahan jika tidak memberikan vaksin kepada anjing di kawasan wabak rabies.

“Adalah menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 40 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 yang membawa denda maksimum RM2,500,” beliau memberi amaran.

Dr Adrian juga menasihatkan orang ramai yang ada memelihara anjing atau kucing di kawasan wabak rabies supaya jangan membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran lepas bebas.

“Jika anjing atau kucing anda digigit binatang yang dijangkiti, tiada jaminan anjing atau kucing itu selamat,” nasihat beliau.
 

  • oleh
  • Advertisement