Anda di sini

Cadangan insurans lindungi petani dimuktamad hujung Julai

 Salahuddin (tengah) hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di kementeriannya di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
LINDUNGI PETANI: Salahuddin (tengah) hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di kementeriannya di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Cadangan memperkenalkan skim insurans perlindungan untuk petani dijangka dimuktamadkan hujung Julai ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.

Salahuddin berkata beberapa perkara perlu diteliti sebelum skim itu dilaksanakan bertujuan memberi pampasan kepada petani yang kerugian akibat bencana alam.

“Kementerian berpandangan ia perlu kerana bila berlaku bencana tidak terduga kita dapat berikan satu jumlah bantuan yang boleh ringankan beban petani. Mungkin bencana berlaku setahun sekali tetapi impaknya besar kepada mereka.

“Kami telah berbincang dengan Agro Bank dalam masa terdekat untuk selesaikan beberapa mekanisme dan kenal pasti syarikat insurans yang berminat untuk memberikan perkhidmatan ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri kementerian itu di sini semalam.

Sebelum ini kerajaan Barisan Nasional pernah bercadang untuk melaksanakan skim berkenaan bagi memberi manfaat kepada para petani di negara ini jika berlaku bencana alam seperti banjir.

Dalam pada itu Salahuddin berkata, kementeriannya komited untuk menghapuskan sebarang bentuk kekangan bagi mengeksport beberapa produk pertanian ke negara China.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam lawatan kementeriannya bersama beberapa kementerian lain yang akan menyertai Perdana Menteri ke negara itu Ogos depan.

“Antaranya durian yang sebelum ini tidak boleh dieksport dengan kulit dan sarang burung yang perlu dibersihkan terlebih dahulu sebagai syarat untuk dieksport.

“Jadi kita harap selepas perbincangan, produk ini dapat kita eksport tanpa halangan berkenaan,” katanya. 

Bagaimanapun keputusan itu bergantung kepada perbincangan dengan pihak China.

Tambahnya menjadi keutamaan kementerian untuk memudahkan pemain industri pertanian mengeksport produk mereka ke negara berkenaan. — Bernama