Anda di sini

Menawarkan hadiah lebih lumayan

Advertisement
 Abdul Karim (tengah) menunjukkan laluan KM2018 kepada media pada sidang media bersama Ong (kanan) dan Wong (kiri) di Kuching semalam.
SERTAI KUCHING MARATHON: Abdul Karim (tengah) menunjukkan laluan KM2018 kepada media pada sidang media bersama Ong (kanan) dan Wong (kiri) di Kuching semalam.

KUCHING: Temasya ikonik, Kuching Marathon 2018 (KM2018) kembali menemui peminat di Padang Merdeka Kuching pada 12 Ogos depan dengan menawarkan hadiah lebih lumayan berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata edisi kelima itu akan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM80,000 kepada pemenang.

“Pada tahun lalu, jumlah keseluruhan hadiah berjumlah RM70,000. Tahun ini kita tambah menjadi RM80,000. Selain itu, semua pelari juga akan diberi baju-T dan medal. Mereka yang berjaya menamatkan larian 42km dan 21km akan mendapat baju-T khas,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurut Abdul Karim, penyertaan setakat ini amat menggalakkan dengan lebih 7,000 peserta dari Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia, Brunei dan Indonesia telah mendaftar untuk menyertai empat kategori dipertandingkan (42km, 21km, 10km, 5km).

Beliau juga yakin edisi kali ini mampu melepasi sasaran 11,000 seperti yang dicatatkan pada 2017.

“Ini tahun kelima Kuching Marathon diadakan, satu temasya sukan yang amat ditunggu-tunggukan oleh pelari marathon. Walaupun baharu lima tahun tetapi sukan ini telah mendapat sambutan begitu hangat daripada peminat-peminat marathon bukan sahaja dari Sarawak tetapi seluruh dunia.

“Tahun lalu, kita dapat melihat penglibatan peserta dari Afrika. Walaupun nama hanya Kuching Marathon namun ia bertaraf antarabangsa kerana larian ini mendapat pengiktirafan Persatuan Larian Jarak Jauh dan Maraton Antarabangsa (AIMS),” katanya.

Jelasnya, di Malaysia hanya empat marathon yang mendapat pengiktirafan dari AIMS dan KM2018 salah satu daripadanya.

Beliau menambah, larian itu bakal memberi implikasi besar terhadap industri pelancongan negeri dengan kehadiran ramai pelancong dari luar negara.

Katanya, laluan dipilih juga unik dan menarik di mana peserta akan melalui kampung-kampung dan tempat bersejarah sekitar Bandar raya Kuching sekali gus memberi nilai tambah kepada penganjuran KM2018.

Orang ramai yang berminat disarankan mendaftar dengan segera dan pendaftaran bagi kategori 42km dan 21km akan ditutup pada 12 Julai ini manakala kategori 10km dan 5km ditutup pada minggu pertama Ogos depan.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi laman sesawang www.marathonkuching.com.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (PSS), Dr Ong Kong Swee dan Presiden Persatuan Marathon Bahagian Kuching, Wong Chen Yi.

  • oleh
  • Advertisement