Anda di sini

Untung bersih suku kedua LPI Capital susut kepada RM65.7j

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih syarikat insurans am LPI Capital Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2018, merosot sedikit kepada RM65.74 juta berbanding RM68.06 juta setahun lepas, berikutan pendapatan pegangan pelaburan yang lebih rendah.

Perolehannya bagaimanapun, meningkat sedikit kepada RM353.05 juta berbanding RM352.71 juta sebelum ini, didorong oleh peningkatan pendapatan pelaburan dalam segmen insurans am.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, LPI berkata margin keuntungan kumpulan itu terjejas berikutan persaingan sengit dalam pasaran insurans susulan pelaksanaan sepenuhnya fasa kedua liberalisasi pasaran.

Berikutan itu, kalangan penggiat saling memanfaatkan impak langkah itu dalam usaha mengembangkan bahagian pasaran masing-masing.

Bagaimanapun, syarikat itu cuba mengimbangi margin lebih rendah itu dengan memiliki bahagian pasaran lebih besar.

Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, keuntungan bersih hampir tidak berubah pada RM138.24 juta manakala perolehannya menokok 4.8 peratus tahun ke tahun, kepada RM734.05 juta.

Pengerusinya, Tan Sri Teh Hong Piow yang memiliki 44.19 kepentingan dalam LPI, berkata bagi tempoh enam bulan berkenaan, anak syarikat milik penuh, Lonpac Insurance berjaya meningkatkan bahagian pasaran dengan pertumbuhan pendapatan kasar premium sebanyak 8.9 peratus kepada RM787.0 juta.

Beliau berkata, seiring dengan prestasi syarikat yang memuaskan, syarikat itu telah mengumumkan dividen interim 26 sen sesaham (2017: 27 sen) yang membabitkan pembayaran berjumlah RM103.6 juta dan mewakili 75 peratus keuntungan bersih yang diagihkan kepada para pemegang sahamnya.

Jumlah pembayaran dividen itu adalah 15.6 peratus lebih tinggi berbanding RM89.6 juta dividen interim pertama pada Ogos tahun lepas dan merupakan sebahagian daripada usaha syarikat itu menghargai pemegang saham di atas sokongan mereka, katanya. — Bernama

Advertisement