Anda di sini

Miliki keluaran tidak berdaftar: Syarikat kecantikan dan kesihatan didenda

Advertisement
 Rohaya keluar dari kamar mahkamah selepas mengaku bersalah memiliki keluaran tidak berdaftar dan bernotifikasi.
DIDENDA: Rohaya keluar dari kamar mahkamah selepas mengaku bersalah memiliki keluaran tidak berdaftar dan bernotifikasi.

KOTA KINABALU: Sebuah syarikat kesihatan dan kecantikan dikenakan denda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, kerana memiliki keluaran tidak berdaftar dan bernotifikasi.

Hakim Ainul Mohamad Shahrin menjatuhkan hukuman itu terhadap pengurus sumber Jesseltonborneo Beauty House, Rohaya Shaepiin selepas mengaku salah.

Tertuduh disabitkan mengikut Peraturan 7 (1) (a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, kerana memiliki lima jenis keluaran tidak berdaftar.

Antaranya Queen Mutiara, Herba Detox D’herbs, Rerama Plus, Belalai Gajah Plus Durian Belanda dan Gel Amani.

Sekali lagi tertuduh didakwa mengikut Peraturan18 A (1) (a) peraturan sama, atas kesalahan memiliki kosmetik tidak bernotifikasi, Dnars Sunny Cream.

Kedua-dua kesalahan dilakukan pada 17 Januari jam 11.55 pagi di sebuah premis, Wisma Ong Fair, daerah Kota Marudu.

Untuk setiap pertuduhan itu,  syarikat berkenaan yang tidak diwakili peguam, dikenakan denda RM2,000.

Semasa rayuan, Rohaya mengatakan tidak tahu sekiranya keluaran terbabit tidak bernotifikasi kerana turut diiklankan di dalam televisyen.

“Jika produk diiklankan di dalam televisyen, selalunya berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bernotifikasi.

“Mohon agar membenarkan bayaran denda dilakukan secara ansuran,” katanya.

Sementara itu, dua lelaki warga asing dikenakan penjara dan sebat, atas kesalahan memasuki negara ini secara haram.

Abdullah Alam, 20, dan Hussin Anas, 38, dikenakan penjara lima bulan, selepas mengaku salah di hadapan Hakim Azreena Aziz.

Mahkamah juga memerintahkan Hussin dikenakan satu sebatan.

Atas pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen Akta Imigresen 1959/63.

Abdullah didapati melakukan kesalahan itu pada 29 Jun jam 9.30 malam, di pusat membeli-belah Suria Sabah, di sini.

Manakala Hussin pada 23 Jun jam 5.30 petang, di Jalan Tuaran Bypass Manggatal, di sini.

Semasa rayuan, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar hukuman mereka diringankan, kerana perlu menanggung keluarga.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa ASP Sabrina Jinius yang melakukan pendakwaan, meminta hukuman setimpal dikenakan.

Azreena memerintahkan mereka menjalani pemenjaraan bermula dari tarikh tangkap, setelah itu dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Advertisement