Anda di sini

KKTP teruskan agenda pemilikan rumah

Advertisement
 Jaujan (tengah) bersama beberapa pembantu menteri menunjukkan isyarat bagus pada hari terakhir persidangan DUN Sabah pada Khamis.
TERUSKAN AGENDA: Jaujan (tengah) bersama beberapa pembantu menteri menunjukkan isyarat bagus pada hari terakhir persidangan DUN Sabah pada Khamis.

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan meneruskan agenda pemilikan rumah bagi semua golongan masyarakat daripada latar belakang pendapatan yang berbeza.

Timbalan Ketua Menteri yang juga menteri berkenaan, Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, kementeriannya melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar akan terus merencana pembangunan perumahan di negeri ini, khususnya pembinaan lebih banyak rumah mampu milik dan kos rendah.

“Kementerian saya juga akan meneruskan kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk penyediaan lebih banyak perumahan awam.

“Pembinaan rumah ini kelak akan mengetengahkan konsep pembangunan yang baharu di mana pembangunan yang dirancang kelak akan mengambil kira pelbagai faktor seperti perancangan budaya, cara hidup dan sosioekonomi penduduk setempat,” katanya dalam ucapan penggulungan kementerian di persidangan DUN Sabah pada Khamis.

Jaujan berkata, kementeriannya akan menekankan lima aspek yang mesti ada dalam pembangunan perumahan iaitu keselamatan, ketahanan, ekonomi, kos penyelenggaraan dan keselesaan.

Katanya, pendekatan itu sejajar dengan matlamat pembangunan kerajaan negeri yang meletakkan kepentingan rakyat serta peningkatan kualiti hidup sebagai keutamaan.

Selain itu katanya, bagi menyelesaikan isu migrasi luar bandar ke bandar, kawasan setinggan sedia ada akan ditempatkan semula ke kawasan perumahan awam seperti Program Perumahan Rakyat serta penyediaan lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, kementerian akan bekerjasama dengan agensi yang lain untuk membangunkan kawasan luar bandar supaya migrasi dapat dikurangkan dengan cara meningkatkan aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Sehingga Julai tahun ini, Jabatan Perumahan Negara sedang membina sebanyak 5,525 unit rumah PPR di seluruh negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata konsep pemilikan PPR secara sewa beli akan diperkenalkan oleh kementerian bagi membolehkan penghuni memiliki unit PPR berkenaan.

Katanya, KKTP akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar pelaksanaan konsep itu dapat dilakukan dengan baik dan teratur.

Advertisement