Anda di sini

Isu pemilikan unit PPR akan dibincang semula

Advertisement
JAUJAN (tengah) ketika menghadiri taklimat dalam lawatan kerjanya ke MPS hari ini.
JAUJAN (tengah) ketika menghadiri taklimat dalam lawatan kerjanya ke MPS hari ini.

SANDAKAN: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri akan membawa semula isu pemilikan unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini untuk dibincangkan di peringkat kerajaan negeri dan pusat.

Menterinya, Datuk Jaujan Sambakong berkata, isu pemilikan unit PPR berkenaan sebenarnya telah lama timbul sejak pemerintahan kerajaan terdahulu lagi.

Katanya, dalam kempen pilihan raya umum yang lalu, pihaknya berjanji akan menangani masalah rakyat termasuk berkaitan isu PPR.

"Ada cadangan dan rungutan daripada penghuni mengenai soal pemilikan rumah supaya tidak jadi seperti sekarang iaitu sewa bulanan sahaja. Mereka mahu unit rumah ini disewa beli.

"Cuba letak diri kita dalam situasi ini. Sudah tentu kita tidak mahu hanya membayar sewa sepanjang masa tetapi akhirnya rumah ini bukan milik kita. Kita faham penghuni terpaksa sewa sebab terdesak kerana tiada tempat tinggal.

"Sebab itu kita lihat kebanyakan PPR ini tidak dijaga dengan baik. Sebaliknya banyak berlaku kebocoran dan kerosakan. Ini kerana penghuni tahu mereka tidak akan memiliki rumah itu.

"Sekiranya mereka boleh sewa beli rumah PPR, sudah tentu ada rasa kebertanggungjawab terhadap rumah itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status semasa pemilikan unit rumah PPR di negeri ini, dalam lawatan kerjanya ke Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di Wisma Perbandaran Sandakan, di sini hari ini.

Dalam isu berasingan, Jaujan berkata bilangan kakitangan MPS akan ditambah dari semasa ke semasa sesuai dengan penaikantarafnya kepada Majlis Bandaraya Sandakan.

Katanya, walaupun penaiktaraf itu belum dilancarkan, namun warga MPS perlu mempunyai persiapan dari pelbagai aspek termasuk kapasiti kakitangan untuk menerajui Majlis Bandaraya Sandakan.

"Kita akan cari tarikh baharu yang sesuai untuk melancarkan Majlis Bandaraya Sandakan. Dan buat sementara ini, kita akan mantapkan lagi MPS.

"Dan, MPS sebenarnya tidak seimbang dari segi kakitangannya jika dibandingkan dengan keluasan, perkadaran dan kebertangunggjawaban.

"Kapasiti sedia ada, adalah untuk MPS. Oleh itu, apabila dinaiktaraf kelak, kapasitinya perlu ditambah," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement