Anda di sini

Ambushed terus mengorak langkah, bakal muncul dalam ‘Split CD’ bersama King Of Borneo

Advertisement
 Anggota kumpulan Ambushed yang terdiri daripada Ray sebagai gitaris, Nasheir (bassist), Unar (drummer) dan Jasper (vokalis).
TETAP: Anggota kumpulan Ambushed yang terdiri daripada Ray sebagai gitaris, Nasheir (bassist), Unar (drummer) dan Jasper (vokalis).

KUMPULAN Ambushed telah diasaskan oleh Nasheir pada tahun 2014 dengan konsep rock.

Menurut kenyataan medianya baru-baru ini, di awal penubuhannya kumpulan ini hanya menggunakan khidmat rakan-rakan sebagai pemuzik undangan.

Pada mulanya tujuan penubuhan hanyalah sekadar ‘jamming’ di studio bagi mengisi masa lapang dan kemudiannya ‘merebak’ kepada hasrat untuk menyertai pertandingan kugiran ataupun ‘Battle Of The Bands’ (BOTB).

Antara pertandingan yang disertai ialah BOTB sempena bulan kemerdekaan Sibu pada tahun 2014, BOTB Pesta Kaul Mukah (2015), BOTB Parkcity Mall Bintulu (2015), BOTB International Kite Festival (2015), BOTB Pesta Saratok (2015), BOTB Siburan (2016) dan BOTB Sibu Bike Week (2017).

Kemudiannya Ambushed pun mengorak langkah dengan menimba pengalaman menghibur pengunjung di pusat-pusat hiburan sekitar Sibu, Sarikei, Kapit, Bintulu dan Miri.

Selain itu, mereka juga turut menerima jemputan persembahan untuk majlis perkahwinan dan majlis makan malam selain giat membuat persembahan pentas untuk acara seperti Pesta Regatta Mukah 2015, Konsert Jelajah Artis Borneo, Showcase Sejiwa Senada 2016, Pesta Kebudayaan Borneo Sibu, Pesta Belawai 2017 dan sebagainya.

Walaupun Ambushed lebih menonjol dengan konsep rock, namun mereka juga berkebolehan membawa pelbagai jenis genre muzik dalam setiap persembahan mengikut kesesuaian acara majlis.

Setelah beberapa tahun menimba pengalaman dalam persembahan hiburan pentas, akhirnya Ambushed muncul dengan single pertama berjudul ‘Rosli Dhoby’ yang mengisahkan tentang sejarah perjuangan dalam menuntut kemerdekaan.

Single tersebut telah dikeluarkan oleh kumpulan itu pada 31 Ogos tahun lalu dengan dibarisi oleh anggota tetapnya yang terdiri daripada Ray sebagai gitaris, Nasheir (bassist), Unar (drummer) dan Jasper (vokalis).

Pada tahun berikutnya, single kedua Ambushed pula muncul berjudul ‘Tragedi Pulau Kidjang’, lagu kali ini bercerita tentang peristiwa karamnya sebuah kapal yang dinamakan ‘Pulau Kidjang’ di Kuala Rajang.

Untuk lirik bagi kedua-dua single tersebut adalah hasil tulisan Amarneng, manakala Ray selaku gitaris utama Ambushed dipertanggungjawabkan dalam menghasilkan setiap lagu-lagu Ambushed.

Kesemua proses rakaman, ‘mixing’ dan ‘mastering’ dilakukan di iMuzik Studio milik Iskandar Bujang yakni seorang komposer yang cukup dikenali dalam industri muzik di Sarawak.

Selepas itu, Ambushed terus melangkah ke hadapan.

Kemudiannya mereka merakam dan mempertaruhkan sebuah lagu berbahasa Iban pertama berjudul ‘Semina Tiga Hari’ untuk dimuatkan dalam album kompilasi Vol. 2 keluaran W & E Entertainment yang dijangka akan dikeluarkan pada Oktober ini.

Dalam pada itu juga, Ambushed kini sedang dalam proses menyiapkan lagu-lagu untuk ‘Split CD’ berjudul ‘Cross Of Borneo’ bersama King Of Borneo yakni sebuah kumpulan dari Indonesia.

Projek ini juga diterbitkan di bawah naungan W & E Entertainment dan akan siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan untuk pasaran Malaysia dan Indonesia.

Bagi urusan jemputan band, anda boleh menghubungi Nasheir di talian 016-2245668.

Manakala untuk maklumat lanjut mengenai album kompilasi Vol. 2 dan ‘Cross Of Borneo’ pula, anda boleh menghubungi terus penaung W & E Entertainment Wandie Alie (011-60961455).

Advertisement