Anda di sini

Sarawak tuan rumah Kongres ASPASP pada 2022

Advertisement
 Snowdan (duduk tengah) bersama Ong (dua kiri) dan delegasi negara yang lain semasa membida ASPASP baru-baru ini.
UNTUK ALBUM: Snowdan (duduk tengah) bersama Ong (dua kiri) dan delegasi negara yang lain semasa membida ASPASP baru-baru ini.

KUCHING: Sarawak dipilih sebagai tuan rumah Kongres Antarabangsa Psikologi Sukan Persatuan Asian-Pasifik Selatan (ASPASP) Kesembilan yang akan diadakan pada 28 Jun hingga 1 Julai 2022.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata, ASPASP merupakan organisasi terkemuka dalam bidang sukan dan psikologi dengan lebih 7,000 ahli dari 24 negara di wilayah Asian-Pasifik Selatan.

“Saya berasa bertuah kepada diberi penghormatan untuk mengetuai delegasi negara membida kongres antarabangsa ini yang sebelumnya diadakan di Universiti Keimyung, Deagu, Korea Selatan,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurutnya, ahli dalam delegasi negara termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) Dr Ong Kong Swee, Presiden Persatuan Psikologi Sukan Sarawak (SASPA) Chai Poh Fatt, Dr Chin Ngien Siong, Dr Garry Kuan Pei Ern, Steven Liew dan Jason Tan dari Sarawak Convention Bureau (SCB).

“Kejayaan bidaan ini adalah hasil usahasama SASPA dan SCB dengan kolaboratif Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan dan PSS.

“Kita menganggarkan sekitar 1,000 peserta dari seluruh negara berhimpun di sini untuk menyertai kongres pada 2022 terdiri daripada penceramah jemputan, penyampai, para akademik, pemerhati dan pihak yang berminat,” katanya.

Menurutnya, kongres itu akan memainkan peranan besar dalam mempromosi Kuching dan Sarawak dalam kalangan peserta dari luar negara terutama dalam bidang psikologi sukan dan pembangunannya selain meningkatkan kualiti atlet negeri untuk digunakan dalam mengejar kejayaan.

Advertisement