Anda di sini

Lebih banyak sekolah kemahiran diwujudkan di Sabah

Advertisement
JAUJAN meninjau pasar Pekan Kinabatangan hari ini. Turut sama Pembantu Menteri George Hiew (dua kanan), Setiausaha Tetap Datuk Ginun Yangus (empat kanan) serta pegawai-pegawai kementerian.
JAUJAN meninjau pasar Pekan Kinabatangan hari ini. Turut sama Pembantu Menteri George Hiew (dua kanan), Setiausaha Tetap Datuk Ginun Yangus (empat kanan) serta pegawai-pegawai kementerian.

KINABATANGAN: Kerajaan negeri berhasrat mewujudkan lebih banyak sekolah kemahiran di Sabah bagi membantu anak-anak di negeri ini memiliki pelbagai kemahiran dan membuka peluang pekerjaan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata ekoran itu Kementerian Pelajaran dan Inovasi diwujudkan bagi mencapai hasrat tersebut.

“Ini penting agar kita dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah agar memiliki kemahiran terutamanya dalam bidang perindustrian,” katanya.

Beliau menambah kerajaan negeri hari ini akan membekukan eksport sumber kayu balak agar kita sebagai pengeluar kayu terbaik di negara ini menjadi pengeluar produk kayu pada masa depan.

“Kita juga mencadangkan agar getah dan sarang burung dihentikan pengeksportannya dan ini akan memberi banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan yang memiliki kemahiran tersebut,” katanya.

Jaujan memberi contoh sumber minyak dan gas yang dikendalikan oleh Petronas yang begitu banyak memberi peluang kepada anak Sabah tetapi ekoran kita tidak memiliki kemahiran berkenaan di mana pihak Petronas terpaksa mencari pekerja yang berkemahiran dalam bidang itu.

“Akhirnya anak-anak negeri Sabah yang ketinggalan dan tiada kemahiran ini, tidak memiliki pekerjaan. Ini hasrat kita hari ini agar sekolah-sekolah kemahiran diwujudkan lebih banyak di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag di sini hari ini.

  • oleh
  • Advertisement