Anda di sini

10 lelaki ditahan dalam Op Cegah AADK

Advertisement
ANGGOTA AADK melakukan serbuan sempena Op Cegah itu.
ANGGOTA AADK melakukan serbuan sempena Op Cegah itu.

KENINGAU: Seramai 10 lelaki ditahan dalam Op Cegah oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini yang dijalankan di sekitar beberapa buah kampung dan salah sebuah taman perumahan, di sini pada Rabu.

Ketua Operasi yang juga Pegawai AADK Keningau Azry Golbin Azmi berkata, kesemua tangkapan berusia sekitar 15 hingga 53 tahun dan tiga daripadanya dikategorikan sebagai kes bawah umur iaitu berusia sekitar 15 hingga 16 tahun dan kes tersebut akan dirujuk kepada Pegawai Akhlak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penentuan syor.

"Kesemua tangkapan telah direman di Pusat Tahanan Reman Papar selama tujuh hari oleh Mahkamah Keningau bagi tujuan siasatan lanjutan atas kesalahan positif ujian saringan dadah jenis Methamphetamine (syabu) di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah, Rawatan Dan Pemulihan 1983," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada JUmaat.

Katanya, turut ditahan seorang individu lelaki yang merupakan orang kena pengawasan (OKP) akan berhadapan dengan dakwaan Kes Langgar Syarat Pengawasan kerana positif semula dadah dalam tempoh pengawasan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun dan sebatan tidak melebihi tiga sebatan.

Di samping itu, operasi berkenaan turut menahan dua individu lelaki yang positif ujian dadah jenis syabu serta tidak mempunyai sebarang dokumen kewarganegaraan telah diserahkan kepada pihak Imigresen Keningau untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, operasi pada malam berkenaan menumpukan kawasan perumahan yang sering dijadikan 'sarang' aktiviti penyalahgunaan dadah yang turut menggangu ketenteraman dan keselesaan kejiranan di kalangan penghuni kawasan berkenaan.

Azry menasihati setiap anggota masyarakat perlu peka berkaitan sebarang aktiviti yang mencurigakan dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sama ada kepada pihak AADK atau pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Hal ini amat penting dalam memastikan keharmonian dan keselamatan penduduk serta penghuni sesuatu kawasan itu sentiasa bebas daripada sebarang aktiviti jenayah dan juga penyalahgunaan dadah," jelasnya.

Operasi tersebut turut disertai oleh pegawai dan anggota Unit Penguatkuasa AADK Negeri Sabah.

Advertisement