Anda di sini

SASA anjur kem latihan untuk perenang Sukma

Advertisement
SKUAD renang Sukma Sabah yang menyertai kem latihan selama lima hari di Kota Kinabalu pada 18-22 Jun lalu.
SKUAD renang Sukma Sabah yang menyertai kem latihan selama lima hari di Kota Kinabalu pada 18-22 Jun lalu.

KOTA KINABALU: Persatuan Sukan Akuatik Sabah (SASA) menganjurkan kem latihan untuk perenang Sukan Malaysia (Sukma) di Kompleks Sukan di sini dan Sutera Harbour Marina Club pada 18-22 Jun lalu.

Presiden SASA, Anthony Kiob dalam kenyataan akhbarnya menerusi setiausaha SASA, Cynthia Chin berkata, program latihan khas selama lima hari itu memberi tumpuan kepada persiapan fizikal dan mental ke tahap tertinggi dan memantapkan semangat kesukanan serta berpasukan di kalangan atlet dan jurulatih.

Perenang juga didedahkan dengan latihan yoga oleh instruktur yoga dan latihan di gimnasium oleh pegawai dari Institut Sukan Negara.

Seramai 15 perenang dari Kota Kinabalu, Sandakan dan Johor terlibat dengan program itu yang terdiri daripada Hollymax Bell, Isaac Pan, Lo Jun Yi, Kuin Jiu Jun, Gerard Tsen Xiang Zhi, Lai Qian Ying, Chu Xin Ying, Janetty John Fabian, Ilyani Shairah Mohammad, Sharifah Destinee, Lovell Wong Hsiao Thang, Cheng Ka Man, Lo Meng Sum, Loo Yie Bing dan Yong Zi Yi.

Kiob berkata, perkembangan prestasi perenang akan terus dipantau dan permantapkan bagi memastikan mereka berada di tahap terbaik menjelang Sukma Ke-19 Perak 2018 pada September depan.

Sambil itu, skuad terjun Sukma Sabah juga akan menjalani latihan pusat selama sebulan di Negeri Sembilan bermula 16 Julai ini.

JANETTY (kiri) dan Xin Ying terpilih membawa cabaran negara.
JANETTY (kiri) dan Xin Ying terpilih membawa cabaran negara.

Penerjun terlibat terdiri daripada Julfaddli Jali, Nurfazriyanti Jali dan Nur Ain Nadzmi manakala dua lagi penerjun yang juga pemenang pingat Sukan SEA 2017, Jellson Jabilin dan Gabriel Daim akan meneruskan latihan mereka bersama skuad negara di Kuala Lumpur sebelum menyertai skuad Sukma.

Dalam pada itu, Kiob mengucapkan tahniah kepada Chu Xin Ying, 13, kerana dipilih oleh Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mewakili Malaysia ke Kejohanan Renang Kumpulan Umur Asia Tenggara Ke-42 2018 di Laguna Filipina pada 6-8 Julai.

Xin Ying adalah antara 27 perenang yang terpilih ke kejohanan itu dan beliau akan mengambil bahagian dalam acara 100m, 200m, 400m dan 800m gaya bebas serta 200m kuak dada.

Ucapan tahniah juga kepada Janetty Joh Fabian, 14, yang layak dengan merit berdasarkan keputusan pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan telah dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mewakili negara ke Kejohanan Sukan Sekolah Asian (ASG) Ke10 2018 di Shah Alam Selangor pada 19-27 Julai.
Janetty akan mengambil bahagian dalam acara 50m kuak lentang.

Kiob berharap, pencapaian Xin Ying dan Janetty itu akan memberi motivasi kepada atlet lain terus berusaha serta dapat menarik lebih ramai menyertai sukan renang.

  • oleh
  • Advertisement