Anda di sini

RM3,305.4 juta dalam Akaun Kewangan Kerajaan Negeri

Advertisement
SHAFIE APDAL
SHAFIE APDAL

KOTA KINABALU: Wang Awam dalam kedudukan Akaun Kewangan Kerajaan Negeri pada 18 Jun 2018 berjumlah RM3,305.4 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 48.7 peratus iaitu RM1,608.9 juta dimiliki oleh kerajaan negeri untuk Akaun Hasil Disatukan.

Katanya, baki 51.3 peratus atau RM1,696.5 juta dipegang untuk Akaun Amanah Disatukan.

"Kedudukan Modal Kerja (Working Capital) kerajaan negeri mencukupi untuk menampung bayaran harian yang diperlukan.

"Liabiliti kerajaan negeri terdiri daripada Pinjaman Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM2,871.7 juta dan Bon Terbitan berjumlah RM1,000 juta seperti pada 31 Disember 2017.

"Setakat kini, kerajaan negeri tidak mempunyai tunggakan bayaran balik Pinjaman Kerajaan Persekutuan," katanya ketika membuat ucapan penggulungan bagi Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga diwajibkan membayar balik Bon Terbitan sebanyak RM1,000 juta secara bayaran penuh sekaligus (Bullet Payment) yang akan matang pada 9 Disember 2019 sebagai langkah untuk mengurangkan hutang negeri.

Di samping itu katanya, sebanyak RM150.7 juta diperuntukkan setiap tahun bagi maksud pembayaran balik Pinjaman Kerajaan Persekutuan.

"Untuk makluman, secara puratanya tempoh bayaran balik Pinjaman Kerajaan Persekutuan adalah 20 tahun dengan kadar faedah yang rendah iaitu sifar peratus bagi projek-projek sosial.

"Ia termasuklah projek seperti bekalan air serta pembetungan dan empat peratus bagi projek-projek komersil yang diperoleh melalui KKIP Sdn Bhd dan Saham Sabah Bhd," jelasnya.

Shafie berkata, dasar kerajaan negeri dalam merancang bajet pada setiap tahun adalah untuk mengimbangi antara hasil yang dikutip dengan perbelanjaan yang akan dilaksanakan.

Bagi tahun fiskal yang berkenaan katanya, sebolehnya kerajaan negeri akan merancang perbelanjaan tidak melebihi anggaran hasil yang kutip.

"Ini bermakna lebih tinggi jangkaan kutipan hasil, lebih banyak perbelanjaan yang boleh dirancang.

"Melalui amalan dasar ini, kita boleh mendisiplinkan diri bagi mewujudkan kewangan yang baik dan terkawal," katanya.

  • oleh
  • Advertisement