Anda di sini

Persiapkan mental, fizikal atlet hadapi Sukma Ke-19

Advertisement
FRANKIE (depan enam dari kanan) bersama skuad boling padang Sukma Sabah yang mengambil bahagian pada Kejohanan Boling Padang Antarabangsa Kinabalu Borneo Cup Open Triples 2018 di gelanggang boling padang Kompleks Sukan Kota Kinabalu.
FRANKIE (depan enam dari kanan) bersama skuad boling padang Sukma Sabah yang mengambil bahagian pada Kejohanan Boling Padang Antarabangsa Kinabalu Borneo Cup Open Triples 2018 di gelanggang boling padang Kompleks Sukan Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Menteri Belia Dan Sukan, Frankie Poon berharap jurulatih Sukan Malaysia (Sukma) Sabah telah mempersiapkan mental dan fizikal atlet mereka menghadapi Sukma Ke-19 Perak 2018 pada September depan.

"Kepada semua jurulatih Sukma, saya berharap anda melakukan tugas anda dalam menyediakan jadual serta strategi untuk para atlet. Dengan kata lain, persiapkan mereka (atlet) secara mental dan fizikal.

"Edisi ke-19 Sukma akan berlangsung pada September tahun ini di Perak dan saya harap atlet Sukma kita akan bersedia dengan kemahiran dan fokus sepenuhnya memenangi pingat emas untuk Sabah," kata Frankie.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kejohanan Boling Padang Antarabangsa Kinabalu Borneo Cup Open Triples 2018 di gelanggang boling padang Kompleks Sukan, di sini pada Rabu.

Mengenai kejohanan itu, Frankie berharap pemain Sabah terutamanya atlet Sukma memanfaatkannya untuk belajar kemahiran daripada peserta antarabangsa yang lebih berpengalaman.

"Saya percaya kehadiran pemain antarabangsa berpengalaman pada kejohanan ini mampu mempertingkatkan prestasi atlet kita," katanya.

Sambil mengucapkan tahniah atas kejayaan skuad boling padang Sukma Sabah mengotakan sasaran satu pingat emas di samping satu perak dan satu gangsa pada Sukma Sarawak 2016, Frankie berharap Persatuan Boling Padang Sabah (Bowls Sabah) dapat menyediakan program jangka panjang bagi menghasilkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.

Kejohanan yang akan berlangsung sehingga 8 Jun itu disertai 52 pasukan termasuk dari negara Thailand, Hong Kong, Brunei dan Fiji selain penyertaan pasukan tempatan Sabah, Semenanjung dan Labuan.

FRANKIE melakukan balingan sebagai simbolik perasmian kejohanan.
FRANKIE melakukan balingan sebagai simbolik perasmian kejohanan.

Sambil itu, Frankie akan mengambil perhatian serius terhadap permohonan Bowls Sabah agar gelanggang boling padang Kompleks Sukan di sini berkenaan dibina bumbung.

"Saya difahamkan bahawa Bowls Sabah telah berulang-kali memohon bumbung tetapi belum terlaksana sehingga hari ini. Saya akan melihat perkara ini secara serius," katanya.

Beliau berkata, kementeriannya sedar bahawa cuaca yang tidak menentu di negeri ini adalah antara penghalang kepada pemain boling padang menepati jadual latihan mereka dan keadaan itu mendesak agar pembinaan bumbung dipercepatkan.

  • oleh
  • Advertisement