Anda di sini

Brazil mendapat perangsang apabila Marcelo, Costa kembali jalani latihan

Advertisement
 Marcelo tiba untuk menghadiri sesi latihan bersama skuad Brazil di Stadium Sukan Yug di Sochi pada Selasa lepas. — Gambar AFP
PULIH: Marcelo tiba untuk menghadiri sesi latihan bersama skuad Brazil di Stadium Sukan Yug di Sochi pada Selasa lepas. — Gambar AFP

SOCHI, Rusia: Brazil mendapat perangsang menjelang perlawanan suku akhir Piala Dunia 2018 menentang Belgium apabila dua pemain utama, Marcelo dan Douglas Costa menjalani latihan Selasa lepas.

“Berita baik! Douglas Costa telah dibenarkan menjalani latihan dengan skuad dan menyertai aktiviti hari ini,” kata Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) menerusi laman sosial Twitter rasminya.

Costa, pemain kelab Juventus dalam Serie A Itali, hanya bermain sekali di Rusia, apabila dimasukkan dari bangku simpanan ketika Brazil menewaskan Costa Rica 2-0 pada perlawanan kedua.

Beliau mengalami kecederaan paha pada perlawanan itu dan tidak beraksi ketika menewaskan Serbia pada perlawanan terakhir kumpulan dan menentang Mexico di pusingan kedua Isnin lepas.

Brazil memenangi kedua-dua perlawanan terakhir dengan 2-0 dan akan menentang Belgium di suku akhir perlawanan di Kazan Jumaat ini.

Marcelo tidak diturunkan menentang Mexico kerana kecederaan belakang dan diganti oleh Filipe Luis di pertahanan kiri.

Bagaimanapun, pemain tengah, Casemiro, tidak akan dapat beraksi kerana penggantungan dan Fernandinho dijangka akan mengisi tempat beliau dalam kesebelasan utama Jumaat ini. — AFP

Advertisement