Anda di sini

Atlet elit MSNS rangkul gangsa pada kejohanan renang di Singapura

Advertisement
 (Dari kiri) Zachary, Puong Hou, Puong Wei dan Job bergambar bersama pingat masing-masing.
MEMBANGGAKAN: (Dari kiri) Zachary, Puong Hou, Puong Wei dan Job bergambar bersama pingat masing-masing.

KUCHING: Atlet renang dari Program Renang Elit Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) berjaya menggondol gangsa pada Kejohanan Renang Kebangsaan Singapura bertempat di Pusat Akuatik OCBC, Singapura yang diadakan dari 20 hingga 23 Jun lepas.

Kuartet perenang Sarawak, Zachary Tan, Hii Puong Wei, Job Tan dan Hii Puong Hou menamatkan tempat ketiga di belakang johan, Korea Selatan dan tuan rumah, Sekolah Sukan Singapura dalam perlumbaan 4x200 meter.

Sarawak menghantar tujuh perenang pada kejohanan tersebut.

Mereka diiringi Pengurus Pasukan, Sabrina Yusuf dan Raymond Chang selaku jurulatih manakala perenang lain yang turut serta ialah Cindy Sui, Kilian Ung dan Leong Wan Mei.

Penyertaan Sarawak pada kejohanan antarabangsa tersebut menjadi sebahagian daripada program pasukan elit tersebut yang bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada perenang harapan Sarawak.

Dalam pada itu MSNS dan Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) akan bekerjasama menganjurkan kejohanan renang antara kelab, Piala Hornbill.

Ia bertujuan menggalakkan perenang muda memperbaiki prestasi ke tahap yang lebih tinggi selain menggalakkan bekas perenang untuk terus menceburi sukan berkenaan.

Peserta yang mengambil bahagian akan mewakili kelab atau persatuan masing-masing.

Perenang yang berjaya memenangi pingat emas tertinggi dalam setiap kategori umur akan mendapat topi edisi khas yang ditandatangani jaguh renang kebangsaan Sarawak, Welson Sim. 

Keohanan itu akan diadakan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya pada 20 hingga 22 Julai ini.

Advertisement