Anda di sini

Tumpuan pembinaan kompleks sukan di enam bahagian

Advertisement
FRANKIE POON
FRANKIE POON

KOTA KINABALU: Menteri Belia Dan Sukan, Frankie Poon berkata, kementeriannya tidak membina kompleks mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi memberi tumpuan mengikut enam bahagian.

Enam bahagian itu adalah Pantai Barat Selatan, Pantai Barat Utara, Pedalaman Atas, Pedalaman Bawah, Sandakan dan Tawau.

Menurutnya, kompleks sukan telah dibina di beberapa daerah di bahagian berkenaan dan penggunaannya boleh dikongsi oleh daerah-daerah berhampiran.

Frankie berkata demikian semasa menjawab soalan Robert Tawik (Star-Bingkor) pada sesi soal jawab Persidangan DUN, di sini pada Rabu.

Robert bertanya, bilakah kerajaan akan membina Mini Kompleks Sukan untuk DUN N.33 Bingkor.

Bingkor adalah salah satu daerah di bahagian Pedalaman Atas yang kini sudah mempunyai kompleks sukan di Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan.

"Kompleks Sukan Keningau telah dibangunkan untuk kegunaan masyarakat daerah Keningau termasuk kawasan Bingkor," kata Frankie.

Bahagian Pantai Barat Selatan pula telah ada kompleks sukan di Kota Kinabalu, Penampang serta Ranau dan dalam perancangan akan datang adalah kompleks sukan di Papar, Tuaran dan Bongawan.

Bahagian Pantai Barat Utara pula mempunyai kompleks sukan di Kudat serta Kota Belud dan dalam perancangan adalah kompleks sukan di Kota Marudu manakala di bahagian Pedalaman Bawah telah ada kompleks sukan di Beaufort dan Sipitang sementara Kuala Penyu dalam perancangan.

Bahagian Sandakan pula telah memiliki kompleks sukan di Sandakan dan Beluran manakala Kinabatangan dan Tongod dalam perancangan sementara di bahagian Tawau telah ada kompleks sukan di Tawau, Lahad Datu serta Semporna dan dalam perancangan akan datang adalah pembinaan Kompleks Sukan Kunak.

Frankie berkata, kementeriannya melalui Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) akan memastikan agar kemudahan-kemudahan sukan negeri ini dinaiktaraf dari masa ke semasa bagi menggalakkan sekaligus menampung keperluan penggunaan pelbagai acara sukan.

  • oleh
  • Advertisement