Anda di sini

Monopoli sektor pembalakan akan dihapus

Advertisement
SHAFIE Apdal
SHAFIE Apdal

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan individu yang mengamalkan pendekatan monopoli dalam sektor perhutanan, khususnya pembalakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan akan meneliti secara mendalam berkaitan isu pemberian lesen kepada konsesi balak kerana tidak mahu orang yang tidak berpengalaman dalam sektor perhutanan terlibat dalam sektor itu.

"Kita dapati dalam penelitian yang dilakukan, dia memotong pokok, dia juga membeli dan dia juga menjual.

"Ini adalah monopoli...eksport juga orang yang sama. Kita mahukan unsur kekayaan ini diberikan sama rata kepada semua rakyat Sabah.

"Kita akan teliti secara mendalam mengikut lunas undang-undang yang ada, sekiranya tidak mengikut undang-undang, kita akan batalkan lesen mereka," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Limus Jury (Upko-Kuala Penyu).

Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan negeri akan manfaatkan hasil sumber kayu-kayan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

Katanya, Sabah kaya dengan sumber kayu tetapi ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

"Sejak tahun 60an dulu sehingga kini, kita hanya mengeksport hasil hutan ini dan perkara ini tidak dimanfaat sepenuhnya di negeri ini.

"Sudah tiba masanya negeri ini bukan sahaja melihat kepada royalti hasil itu semata-mata tetapi juga peluang pekerjaan yang diwujudkan kepada anak-anak Sabah," katanya.

Beliau berkata, tindakan untuk menghentikan eksport kayu balak bukan sahaja bidang Ketua Menteri tetapi juga Jemaah Menteri.

"Saya telah membentangkan perkara ini dalam Jemaah Menteri untuk membolehkan kerajaan mengkaji bukan sahaja kebaikan kepada sektor perabot tetapi juga sektor hiliran yang lain," katanya.

  • oleh
  • Advertisement