Anda di sini

Kerajaan negeri komited tangani masalah banjir

Advertisement
JUNZ WONG
JUNZ WONG

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memang mempunyai perancangan dan program untuk menaik taraf sistem perparitan sedia ada dan mendalamkan sungai di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu, Penampang, Sepanggar, Putatan, Kota Belud dan Tawau.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Junz Wong berkata bagi kawasan Bandaraya Kota Kinabalu, JPS telah mewujudkan Kajian Pelan Induk Saliran Kota Kinabalu meliputi Bandaraya Kota Kinabalu dan Sepanggar yang kompherensif, melibatkan aspek perancangan struktur jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

"Selain itu, perancangan bukan struktur sehingga tahun 2032 dengan anggaran kos RM1.93 bilion.

"Kerajaan negeri dan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM96.70 juta bagi kedua-dua kawasan berkenaan dan sedang dalam pelaksanaan," katanya ketika menjawab soalan Tan Lee Fat (DAP-Likas).

Junz berkata, bagi kawasan Penampang, JPS mempunyai perancangan jangka panjang bagi daerah itu dengan cadangan peruntukan sebanyak RM600 juta untuk Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

"Kerajaan negeri dan Persekutuan telah meluluskan beberapa projek di Sungai Sugud dan Sungai Moyog, Penampang dengan kos RM365.50 juta yang sedang dalam pelaksanaan," katanya.

Bagi kawasan Putatan, JPS mempunyai perancangan jangka panjang bagi kawasan daerah kecil itu dengan cadangan peruntukan sebanyak RM450 juta.

"Untuk RMK-11, kerajaan negeri dan Persekutuan telah meluluskan RM50.75 juta bagi menaiktaraf sistem saliran di kawasan itu," katanya.

Junz berkata, JPS juga mempunyai perancangan bagi menaiktaraf sungai-sungai utama di Daerah Kota Belud dengan menyediakan Pelan Mengatasi Banjir Daerah Kota Belud dengan anggaran kos RM300 juta tertakluk kepada kajian akhir kelak.

"Untuk RMK-11, kerajaan Persekutuan telah meluluskan prpjek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kadamaian, Sungai Abai dan Sungai Tempasuk dengan kos RM50 juta dan di peringkat penyediaan tender serta projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Gurong-Gurong dengan kos RM20 juta dan baru sahaja dimulakan," katanya.

Beliau berkata, JPS juga telah menyediakan program jangka panjang bagi menaiktaraf sistem saliran di Bandar Tawau dan Sungai Tawau bagi mengatasi banjir yang kerap berlaku di daerah itu.

Katanya, projek tebatan banjir Sungai Tawau sebanyak RM300 juta telah dirancang.

Untuk RMK-11, kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak RM50 juta bagi menaiktaraf Sungai Rakis sebagai `outlet' ke muara Sungai Tawau dan pembesaran jambatan Jalan Apas.

"Projek ini dalam peringkat pengurusan tender. Peruntukan selebihnya akan dipohon dalam RMK-12 akan datang," katanya.

Junz berkata, secara keseluruhan, kerajaan negeri memang komited dalam melaksanakan program-program yang dirancang dalam menyelesaikan isu-isu banjir.

"Tetapi pelaksanaannya mengikut keutamaan tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan negeri mahupun Persekutuan," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement