Anda di sini

Angkat sumpah semula bagi penuhi Perlembagaan Negeri

Advertisement
 Mohd Shafie (kanan) bersalaman dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-15 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah, semalam. Turut hadir dua lagi Timbalan Ketua Menteri iaitu Christina Lew (dua  kiri) dan Datuk Dr Jaujan Sambakung (kiri). — Gambar Bernama
BERSIDANG: Mohd Shafie (kanan) bersalaman dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-15 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah, semalam. Turut hadir dua lagi Timbalan Ketua Menteri iaitu Christina Lew (dua kiri) dan Datuk Dr Jaujan Sambakung (kiri). — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Majlis angkat sumpah wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dijalankan semula pagi semalam bagi memenuhi Perlembagaan Negeri, kata Ketua  Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau menjelaskan mengikut peraturan mesyuarat dewan, majlis angkat sumpah sebagai ADUN sepatutnya memerlukan pemakluman kepada Yang di-Pertua Negeri dan majlis angkat sumpah perlu diadakan di hadapan cokmar negeri sebagai tanda Yang di-Pertua meluluskan majlis itu.

“Yang dulu (majlis angkat sumpah wakil rakyat BN pertama) bukan tidak sah, tetapi ia tidak mengikut peraturan (proses) sepatutnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-15 oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di sini, semalam.

Menurut Mohd Shafie, berdasarkan peraturan mesyuarat dewan, proses mengangkat sumpah sebagai ADUN sepatutnya diadakan pada persidangan pertama DUN.

Namun, beliau berkata persidangan pertama DUN selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 diadakan atas sebab kecemasan, yang mana Yang di-Pertua Negeri telah memberi kelulusan.

Mohd Shafie menjelaskan keputusan mengadakan majlis angkat sumpah semula itu bagi memastikan lunas undang-undang negeri dipatuhi.

“Kita tak mahu esok ia menjadi satu ikutan, di mana selepas pilihan raya, dua atau tiga boleh masuk bilik speaker untuk angkat sumpah kerana perlu ada pemakluman, perlu ada pengetahuan TYT (Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri) dan ada cokmar sebagai tanda kuasa TYT telah diturunkan kepada speaker untuk membolehkan speaker menguruskan dewan,” katanya.

Kira-kira jam 8 pagi semalam, semua wakil rakyat yang menyokong kepimpinan pengerusi BN Sabah Tan Sri Musa Aman, kecuali Musa sendiri, mengangkat sumpah semula sebagai ADUN di hadapan Speaker DUN Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali sebelum pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Persidangan DUN Sabah Ke-15 di sini.

Pada 11 Jun lepas, semua 43 ADUN termasuk empat ADUN dilantik, kerajaan baharu diketuai Parti Warisan Sabah pimpinan Mohd Shafie hadir ke Persidangan Khas DUN Sabah untuk mengangkat sumpah sebagai ADUN Sabah dan pada persidangan itu juga DUN Sabah meluluskan undi percaya kepada Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri.

Bagaimanapun semua 21 ADUN daripada UMNO dan bekas anggota komponen BN seperti PBS, PBRS dan UPKO serta parti Solidariti yang masih setia dan menyokong kepimpinan Musa tidak menghadiri persidangan khas itu.

Pada keesokan harinya (12 Jun), 19 daripada 21 ADUN berkenaan tampil mengangkat sumpah sebagai ADUN Sabah di hadapan speaker DUN Sabah. — Bernama

Advertisement