Anda di sini

Status Khairy sebagai Ketua Pembangkang akan dibincang

Advertisement
 Ahmad Zahid (kanan) bersama Timbalan Presiden UMNO baharu, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas sidang media memperkenalkan ahli Majlis Tertinggi UMNO yang baharu di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
BERJUANG UNTUK UMNO: Ahmad Zahid (kanan) bersama Timbalan Presiden UMNO baharu, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas sidang media memperkenalkan ahli Majlis Tertinggi UMNO yang baharu di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Status Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Ketua Pembangkang baharu di Parlimen akan ditentukan pada mesyuarat dalaman parti selain rundingan dengan PAS tidak lama lagi, kata Presiden UMNO yang baharu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam sidang akhbar pertamanya semalam selepas dipilih menjadi Presiden UMNO untuk sesi 2018-2021, Ahmad Zahid berkata perbincangan tersebut akan diadakan dalam masa terdekat dan dijangka sebelum sesi persidangan Dewan Rakyat bermula 16 Julai ini.

“Saya adakan perbincangan dengan Khairy Jamaluddin pagi tadi (semalam) dan telah membuat perincian dalam peranan yang boleh dimainkan.

“Memandangkan ketua pembangkang mesti dilantik daripada mereka yang dipilih dalam pemilihan parti. Dan saya akan berbincang perkara ini dengan PAS juga,” katanya di Menara Dato Onn.

Turut hadir Timbalannya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau merangkap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, dua Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sebelum ini dilaporkan, bekas Naib Ketua Pemuda Senator Khairul Azwan Harun dalam akaun Twitternya mencadangkan pelantikan Khairy sebagai ketua pembangkang di Parlimen bagi mengawasi tindak-tanduk kerajaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata semua aku janji dan manifesto calon-calon presiden akan diteliti untuk transformasi parti yang lebih berkesan dan menyeluruh.

Jelasnya ini termasuk memberikan tugas dan tanggungjawab kepartian yang akan ditentukan kelak kepada Khairy dan seorang lagi calon Presiden Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam nota yang sama, Ahmad Zahid berkata pelan jangka pendek dan panjang parti akan diselaraskan untuk membentuk kesefahaman dan mengelak perbezaan pendekatan dari segi struktur organisasi, piagam dan perlembagaan parti di semua peringkat.

Jelasnya, ini sekali gus akan mewujudkan penjenamaan semula UMNO dan rakan-rakan komponen di dalam Barisan Nasional bagi membentuk satu gagasan parti politik baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahmad Zahid juga akan melakukan rombakan pentadbiran baharu termasuk di peringkat Majlis Tertinggi bagi melicinkan perjalanan parti.

Menyentuh mengenai pemilihan parti melibatkan 191 bahagian itu, beliau percaya UMNO kini berada di landasan tepat untuk transformasi menyeluruh seperti jawatan presiden dan timbalan presiden yang tidak pernah dipertandingkan sejak 1987.

“Transformasi pertama ini yang saya lontarkan sebagai satu pembaharuan apabila saya jalankan tugas sebagai presiden,” katanya.

Beliau turut meminta mereka yang tidak terpilih di dalam pemilihan kali ini agar terus bersama parti untuk proses transformasi dan perubahan menyeluruh demi kesinambungan dan kelangsungan UMNO. — Bernama

Advertisement