Anda di sini

Penunggang motosikal maut dirempuh kereta

Advertisement
MANGSA cuba ditenangkan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.
MANGSA cuba ditenangkan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

BEAUFORT: Akibat dilanggar sebuah kereta, seorang lelaki penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Mangsa Azrul Abd. Karim, 28, bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan kecemasan di Hospital Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd. Razak berkata, kemalangan terbabit berlaku kira-kira jam 1.15 petang di Kampung Kabidang  Kilometer 10 Jalan Beaufort-Menumbok dekat sini pada Ahad.

Katanya, sebelum kejadian mangsa dan juga suspek sama-sama datang dari arah Beaufort menuju ke laluan Menumbok.

"Siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan dipercayai cuba memotong motosikal mangsa yang berada di hadapannya.

"Pada masa sama, mangsa membelok masuk ke simpang sebelah kanan jalan sebelum dirempuh suspek akibat gagal mengelak dari melanggar mangsa.

"Mangsa kemudiannya terjatuh di tengah jalan raya dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta dalaman badan," jelasnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu disebabkan oleh kecuaian suspek yang memotong secara berbahaya.

KENDERAAN suspek yang turut remuk di bahagian hadapan akibat dari kemalangan itu.
KENDERAAN suspek yang turut remuk di bahagian hadapan akibat dari kemalangan itu.

Sementara itu katanya, pemandu kereta terbabit yang berumur 31 tahun bersama seorang lagi penumpang wanita dipercayai isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • oleh
  • Advertisement