Anda di sini

Parti Harapan Rakyat tinggalkan GS

Advertisement
 Lajim (duduk, dua kanan) bersama Maijol (duduk, dua kiri) mengadakan sidang media di Kota Kinabalu, kelmarin.
PEMBANGKANG: Lajim (duduk, dua kanan) bersama Maijol (duduk, dua kiri) mengadakan sidang media di Kota Kinabalu, kelmarin.

KOTA KINABALU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) mengambil keputusan meninggalkan Gabungan Sabah (GS) untuk berdiri sebagai sebuah parti pembangkang.

Presidennya Datuk Seri Lajim Ukin berkata, hala tuju itu diambil selepas mengadakan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi bersama kepimpinan parti yang lain.

“Keputusan ini juga telah dimaklumkan kepada kepimpinan parti lain dalam GS kecuali STAR yang mana presidennya gagal dihubungi.

“GS adalah ‘election pack’ sahaja dan ia tidak didaftarkan sebagai sebuah parti tidak seperti Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya akan menyokong segala dasar yang baik oleh kerajaan sekarang tidak kira di negeri ataupun pusat sekiranya dasar itu khusus untuk rakyat Sabah.

Bagaimanapun katanya, Harapan Rakyat akan terus bersuara sekiranya wujud sebarang dasar yang bertentangan dengan kepentingan rakyat Sabah khususnya dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), royalti petroleum dan autonomi Sabah.

“Parti juga akan mengadakan perhimpunan tahunan bahagian bermula 10 Ogos sehingga hujung September, sementara pusat akan diadakan pada 27 sehingga 28 Oktober depan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Harapan Rakyat Datuk Maijol Mahap menegaskan bahawa Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum layak untuk dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

Katanya, sudah tiba masanya seorang hakim dari Sabah diberikan peluang untuk menjawat salah satu jawatan tertinggi dalam sistem perundangan negara.

“Beliau mempunyai pengalaman yang mencukupi bagi memikul tugas dan tanggungjawab untuk mengantikan Tan Sri Md Raus Sharif yang akan bersara tidak lama lagi,” katanya.

Advertisement