Anda di sini

Hampir 8,000 pelajar Sabah sertai Kelab Doktor Muda

Advertisement

TUARAN: Seramai 7,968 pelajar di Sabah telah menjadi anggota terlatih Kelab Doktor Muda yang ditubuhkan di sekolah masing-masing, dengan 6,677 orang daripadanya adalah murid sekolah rendah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata Kelab Doktor Muda hasil kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan bertujuan melahirkan pelajar sihat dan cergas, sekali gus berperanan memberi penerangan mengenai isu kesihatan selain mendedahkan amalan gaya hidup sihat serta kecergasan fizikal kepada pelajar lain.

“Di Sabah, setakat ini, sebanyak 293 sekolah rendah dan 39 sekolah menengah telah menubuhkan Kelab Doktor Muda. Anggota kelab ini akan dibimbing oleh guru-guru mereka yang telah dilatih dan mendapat input daripada Jabatan Kesihatan.

“Saya berharap semua sekolah di Sabah dapat meneruskan program ini pada masa akan datang kerana ia banyak memberi impak positif tidak hanya kepada anggota kelab tetapi juga masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Promosi Kesihatan Di Institusi Pendidikan (HePILI) peringkat negeri di sini, semalam.

Ketika berucap, Christina berkata pelaksanaan kelab doktor muda seumpama itu turut dilestarikan ke institusi pengajian tinggi di Sabah menerusi Program Siswa Sihat (PROSIS) di Universiti Malaysia Sabah; tiga Institusi Pendidikan Guru dan satu di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu.

Kelab dan program itu dilihat mampu meyumbang ke arah mencapai aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia terutama dalam aspek kemenjadian murid, katanya.

Mengenai Konvensyen HePILI, Christina berkata, ia adalah platform mempromosi aktiviti kecergasan secara meluas melalui pelbagai pertandingan yang turut menilai kemampuan, kreativiti dan kemahiran doktor muda dalam menyampaikan mesej kesihatan sekali gus mencungkil bakat baharu dalam bidang kecergasan.

Seramai 312 pelajar daripada 26 sekolah rendah dan menengah di Sabah menyertai konvensyen tiga hari itu yang antara lain mempertandingkan tokoh doktor muda, inovasi bahan bantu mengajar, projek bersama komuniti, projek intervensi doktor muda serta lompat tali dan senam sihat. — Bernama

Advertisement