Anda di sini

Belgium diramal mudah atasi halangan Jepun

Advertisement
 Mertens (kiri) bersaing dengan rakan sepasukan, Yannick Ferreira-Carrasco  ketika menyertai sesi latihan di Stadium Guchkovo, Dedovsk pada Sabtu lepas. — Gambar AFP
SENGIT: Mertens (kiri) bersaing dengan rakan sepasukan, Yannick Ferreira-Carrasco ketika menyertai sesi latihan di Stadium Guchkovo, Dedovsk pada Sabtu lepas. — Gambar AFP

ROSTOV-ON-DON, Rusia: Dries Mertens memberi amaran kepada pasukannya, Belgium, untuk tidak terlalu yakin apabila menentang Jepun di sini hari ini dengan satu perhatian mungkin kepada pertemuan suku akhir menentang Brazil.

Belgium muncul sebagai ‘kuda hitam’ di Piala Dunia kali ini, dengan ‘generasi emas’ mereka diramalkan menyerlah di peringkat kalah mati kejohanan.

Skuad kendalian Roberto Martinez itu menewaskan England 1-0 pada perlawanan terakhir untuk muncul juara Kumpulan G, membolehkan mereka menempah pertemuan yang dianggap mudah menentang Jepun di pusingan kedua.

Tetapi Mertens berkata Belgium berwaspada dengan apa yang  boleh berlaku di perlawanan suku akhir Euro 2016, di mana mereka tewas 1-3 kepada Wales walaupun menjadi pilihan untuk meneruskan kemaraan.

“Saya masih ingat perlawanan menentang Wales,” kata Mertens. “Semua orang fikir kami akan meneruskan kemaraan tanpa masalah tetapi tiba-tiba kami tersingkir dari kejohanan.

“Kami tidak akan memperkecilkan Jepun kerana mereka memiliki pasukan yang kuat. Jika mereka mampu melangkah sejauh ini, ia bermakna mereka pasukan yang bagus.”

Selepas melakukan sembilan pertukaran ketika menewaskan England Khamis lepas, Martinez dijangka menurunkan skuad terkuatnya yang menyerlah ketika menewaskan Panama dan Tunisia.

Dengan sembilan gol dijaringkan setakat ini, Belgium adalah pasukan yang menjaringkan banyak gol di Piala Dunia.

Penyerang Romelu Lukaku menjaringkan empat gol dengan masing-masing dua gol ketika menentang Tunisia dan Panama di pusingan pertama.

Beliau dijangka akan diturunkan menentang Jepun selepas tidak beraksi menentang England kerana kecederaan.

Martinez berkata semua pemainnya cergas ketika Belgium berharap untuk memperbaiki pencapaian terbaik mereka di Piala Dunia, 32 tahun selepas melangkah ke separuh akhir di Mexico 1986.

Pemain pertahanan, Thomas Vermaelen, yang bermain selama 76 minit ketika menentang England, membuktikan beliau sudah pulih sepenuhnya dari kecederaan paha bulan lepas.

Pemain pertahanan tengah, Vincent Kompany, yang menggantikan Vermaelen ketika menentang England, mungkin akan diturunkan dalam kesebelasan utama selepas pulih dari kecederaan.

Jepun akan memburu sejarah dengan melangkah ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama.

Gergasi bola sepak Asia itu mengharungi banyak kritikan selepas perlawanan terakhir kumpulan di mana mereka tewas 0-1 kepada Poland dan hanya melangkah ke pusingan kedua kerana memiliki kurang kad kuning berbanding Senegal.

Bekas pemain England, Phil Neville menggambarkan permainan Jepun dan Poland sebagai “memalukan” tetapi pemain pertahanan veteran Jepun mempertahankan taktik jurulatih mereka, Akira Nishino.

“Sudah tentu ia tidak kelihatan menarik apabila penonton merungut, tetapi bagi kami, apa yang paling penting ialah meneruskan kemaraan,” kata pemain pertahanan, Gotoku Saka.

Kapten Jepun, Makoto Hasebe mengakui “ia adalah satu perasaan yang pelik tetapi kami fikir kami melakukan sesuatu yang betul.”

Nishino melakukan sesuatu yang hebat bersama skuad Jepun walaupun hanya menggantikan Vahid Halilhodzic, yang dipecat pada bulan April. — AFP

Advertisement