Anda di sini

Semua pihak dipanggil berbincang isu perkahwinan kanak-kanak 11 tahun

Advertisement
WAN Azizah menjawab soalan pemberita pada sidang media sempena Majlis Himpunan Merdeka Rakyat dan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tawau di Kompleks Sukan Tawau hari ini. Turut kelihatan, Christina (kanan) dan Sarifuddin (kiri).
WAN Azizah menjawab soalan pemberita pada sidang media sempena Majlis Himpunan Merdeka Rakyat dan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tawau di Kompleks Sukan Tawau hari ini. Turut kelihatan, Christina (kanan) dan Sarifuddin (kiri).

TAWAU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan memanggil semua pihak berkaitan esok (Isnin) untuk mencari kaedah terbaik menangani isu perkahwinan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Gua Musang, Kelantan.

Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga itu berkata antaranya, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mahkamah Syariah serta semua agensi dan jabatan kerajaan terlibat.

“Pertemuan ini dilakukan supaya kita dapatkan keputusan yang terbaik untuk kanak-kanak perempuan terlibat (the best interest of the child),” katanya.

Wan Azizah berkata demikian semasa ditemui sempena Majlis Himpunan Merdeka Rakyat dan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tawau di Kompleks Sukan Tawau pada Ahad.

Menurutnya, kepentingan itu perlu diambil-kira dalam membuat pertimbangan sewajarnya untuk memastikan hak-hak anak yang sepatutnya, dapat dijaga dengan baik.

Ditanya berhubung pembekuan akaun bank Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF) pula, beliau berkata arahan sudah diberikan kepada pegawainya untuk menyiasat hal itu.

“Saya diberitahu ini adalah masalah dalaman dengan bank itu sendiri, kerajaan tidak terlibat jadi saya kira (isu) ini bolehlah diselesaikan dengan cara yang terbaik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengaku tidak mengetahui jika isu TAFF mempunyai kaitan dengan siasatan 1MDB kerana tidak ada campur tangan politik dalam siasatan 1MDB.

Beliau berkata 1MDB disiasat oleh sebuah badan bebas tanpa penglibatan kerajaan, namun jika ada dana kerajaan terlibat, mestilah dikembalikan kepada rakyat Malaysia.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Christina Liew yang juga Ahli Parlimen Tawau.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kewangan Sarifuddin Hata mewakili Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Warisan Sabah, serta menteri-menteri Kabinet negeri dan wakil rakyat.

  • oleh
  • Advertisement