Anda di sini

Lagi tiga warga asing, juragan ditangkap

Advertisement
KESEMUA warga asing dan juragan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau.
KESEMUA warga asing dan juragan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau.

TAWAU: Tiga lagi warga asing dan seorang juragan bot yang cuba memasuki daerah ini secara curi-curi berjaya dikesan dan ditangkap menerusi Operasi Gelora Khas (Aidilfitri).

Ketiga-tiga warga asing terdiri daripada seorang perempuan (22 tahun) serta dua lelaki (15 dan 17) itu ditahan bersama juragan bot, seorang lelaki warga tempatan, 28.

Pegawai Pemerintah PPM Tawau DSP Mohd Nazri Ibrahim berkata penahanan itu dibuat pada Ahad, kira-kira jam 12 tengahari berhampiran Jeti Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (lama).

"Juragan yang ditahan didapati membawa lima penumpang (dua memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan tiga lagi tidak mempunyai sebarang dokumen),” katanya.

Nazri berkata, ketiga-tiga penumpang yang ditahan mengaku secara lisan terpaksa membayar bot RM150 seorang berbanding harga biasa antara RM10 dan RM20.

Menurutnya, dua lagi penumpang yang mempunyai dokumen pengenalan diri diarah meneruskan perjalanan, manakala empat yang lain termasuk bot dibawa ke Pangkalan PPM Tawau.

"Kita turut menahan enjin sangkut bot berkenaan yang berkapasiti 40 kuasa kuda," katanya, sambil memberitahu kesemua tangkapan diserah kepada IPD Tawau untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata penahanan kesemua tangkapan termasuk bot dan enjin dibuat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Akta Atipsom 2007/2010).

Untuk rekod, pada Jumaat, 18 warga asing ditangkap di kawasan laut penempatan air Batu 4 Jalas Apas ketika cuba memasuki daerah ini secara curi-curi dengan menaiki sebuah bot laju.

  • oleh
  • Advertisement