Anda di sini

KPLB, Kementerian Pelancongan akan kerjasama majukan pelancongan luar bandar

Advertisement
EWON melihat masakan tradisional yang dipertandingkan pada majlis itu.
EWON melihat masakan tradisional yang dipertandingkan pada majlis itu.

KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Pelancongan Sabah dan Persekutuan akan bekerjasama bagi memajukan lagi sektor pelancongan luar bandar di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick yakin kerjasama mantap kedua-dua kementerian itu di peringkat negeri dan pusat akan dapat melengkapi keperluan untuk memajukan sektor pelancongna luar bandar.

“Sebaik diberi mandat sebagai Menteri KPLB Sabah yang baharu, perkara pertama yang saya buat ialah melihat dasar di peringkat kementerian sama ada kita dapat memasukkan Pembangunan Eko Pelancongan Luar Bandar.

“KPLB Sabah menerima Eko Pelancongan sebagai sebahagian daripada program pembangunan luar bandar.

“Selain itu KPLB Persekutuan juga bersetuju bekerjasama dengan KPLB Sabah dari segi pembiayaan untuk membantu Kementerian Pelancongan Sabah dan Persekutuan memperkasa dan membangunkan lagi sektor pelancongan luar bandar termasuk pelancongan berasaskan pendidikan (Edu Tourism),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Kaamatan Kampung Tambulion Ulu, di Dewan Terbuka kampung itu, di sini, pada Sabtu.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, pelancongan luar bandar di Kadamaian amat berpotensi untuk dimajukan selain bidang pertanian.

Dari segi promosi eko pelancongan luar bandar khususnya di Kadamaian, beliau berkata, secara keseluruhannya Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) mempunyai pelbagai program tahunan yang telahpun dimulakan beberapa tahun lepas termasuk bulan melawat Kadamaian dan Tamu Badi Kadamaian.

“Program-program seperti itu dapat membantu mempromosikan destinasi pelancongan menarik di Kadamaian selain promosi melalui media sosial seperti Facebook,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan memberikan peruntukan ‘touch point’ sebanyak RM30,000 kepada KATA bagi membantu memajukan lagi eko pelancongan luar bandar kawasan itu.

Advertisement