Anda di sini

Kerajaan M’sia baharu tidak sisihkan Sabah dan rakyatnya

Advertisement
WAN Azizah diiringi oleh Christina semasa tiba di Majlis Himpunan Merdeka Rakyat dan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tawau di Kompleks Sukan Tawau.
WAN Azizah diiringi oleh Christina semasa tiba di Majlis Himpunan Merdeka Rakyat dan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tawau di Kompleks Sukan Tawau.

TAWAU: Kerajaan Malaysia Baharu sentiasa mengambil-berat keadaan di Sabah dan rakyatnya malah bertekad untuk menunaikan janji-janji Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, PH sudah lama menekankan di Parlimen bahawa Sabah mesti dibangunkan sama seperti di Semenanjung.

“Inilah masanya untuk kita tunaikan janji kepada rakyat namun kita mohon sedikit kesabaran kerana apabila kita ambil-alih kerajaan, ‘keadaan agak meruncing’.

“Bukan kita (sengaja) melengah-lengahkan,” katanya, pada Majlis Himpunan Merdeka Rakyat dan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tawau di Kompleks Sukan Tawau pada hari ini.

Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga mengakui gembira datang ke Tawau (Sabah) kerana kemenangan PH dan Warisan untuk Kerajaan Pusat dan Negeri.

Terdahulu, wakil Ketua Menteri, Pembantu Menteri Kewangan Sarifuddin Hata berkata kerajaan negeri menyokong penuh pelantikan Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dalam ucapannya, Sarifuddin menggesa Kerajaan Pusat supaya memberikan perhatian khusus untuk negeri ini yang disifatkannya amat memerlukan pembangunan.

“Sabah sudah lama mundur, kami masih bercerita soal kemudahan infrastruktur, sedangkan di Semenanjung mengenai bangunan bertingkat-tingkat dan keretapi laju.

“Kita di Sabah akan menyokong semua dasar yang hendak dijalankan oleh Kerajaan Pusat, tetapi tolong jangan lupakan kami di negeri ini,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Tawau Christina Liew pula berterima kasih kepada semua rakyat Sabah yang menyokong Kerajaan PKR, Warisan dan DAP.

Christina yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata sokongan rakyat berbilang kaum amat penting untuk memastikan pembangunan negeri ini dapat dinikmati.

“Sabah, negeri yang unik dan kita harus meraikannya, walaupun berlainan kepercayaan dan keturunan, namun kita sentiasa dapat menikmati hidup sejahtera,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement