Anda di sini

Karnival Bola Sepak Wanita 11 Sebelah pada 14-15 Julai

Advertisement

MIRI: Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri menganjurkan Karnival Bola Sepak Wanita 11 Sebelah berlangsung pada 14 dan 15 Julai depan.

Presidennya, Mohd Saif Jubaidi berkata pertandingan itu terbuka kepada semua pasukan bola sepak wanita dalam dan luar Miri.

“Setakat ini hanya empat pasukan telah pun mengesahkan tempat dan penyertaan masih terbuka kepada pasukan-pasukan lain,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak lapan pasukan berentap pada pertandingan itu dan masih terdapat empat slot kekosongan perlu diisi pasukan yang berminat.

Menurutnya, selain manganjurkan pertandingan bola sepak membabitkan pasukan lelaki pihaknya kali ini melakukan kelainan dengan penganjuran bola sepak wanita.

“Kita pernah menjadi juara Piala Tun Sharifah Rodziah dan adalah amat penting kita mempunyai pelapis pemain-pemain wanita untuk kejohanan bola sepak wanita pada masa akan datang,” katanya.

Pemenang tempat pertama dan kedua masing-masing bakal menerima hadiah wang tunai sejumlah RM1,000 dan RM500 berserta piala.

Ia adalah pertandingan julung kali dianjurkan persatuan tersebut dengan memberi fokus kepada penyertaan pemain-pemain wanita.

Sebarang keterangan lanjut boleh menghubungi Ismail Saual di talian 017-8110600 dan Josephine Charlie (012-8705750).

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 12 Julai depan dan borang boleh didapati dengan menghubungi urus setia penganjur.

Advertisement