Anda di sini

Lima mangsa nahas dua bot berlanggar maut

Advertisement
PERKONGSIAN peta daripada APMM Tawau yang disyaki lokasi berlakunya insiden perlanggaran dua bot laju.
PERKONGSIAN peta daripada APMM Tawau yang disyaki lokasi berlakunya insiden perlanggaran dua bot laju.

TAWAU: Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau mengesahkan berlaku kes perlanggaran dua bot membabitkan 21 mangsa termasuk lima maut pada Jumaat, kira-kira jam 7.30 malam di perairan Pulau Sebatik, berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia.

Utusan Borneo difahamkan, kejadian melibatkan sebuah bot laju dari arah Tawau menuju Sebatik Kalimantan Utara (Kaltara) dengan sebuah bot laju dari arah Sebatik Kaltara.

Bot laju yang bergerak dari Tawau itu disyaki melibatkan aktiviti penyeludupan keluar migran secara curi-curi kerana kejadian berlaku semasa Perintah Berkurung berkuatkuasa.

Ketua Perwakilan KRI Tawau Sulistijo Djati Ismojo ketika dihubungi berkata, maklumat berhubung insiden yang berlaku disampaikan oleh pihak berkuasa di Nunukan, Kaltara.

“Kita diberitahu perlanggaran dua bot laju dengan enjin berkapasiti 200 kuasa kuda ini melibatkan 17 penumpang dewasa, dua kanak-kanak serta juragan dan pembantunya.

“Buat masa ini, kita dimaklumkan lima mangsa meninggal dunia, manakala 13 penumpang, juragan dan pembantunya ditemukan selamat,” katanya, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Djati berkata koordinat sebenar lokasi kejadian masih belum diketahui dan semua mangsa yang sudah ditemui kini berada di Nunukan dan Sebatik Kaltara.

Bagaimanapun gerakan mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan kerjasama pihak berkuasa Nunukan dan Tawau kerana dipercayai ada seorang lagi belum ditemukan.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau DSP Mohd Nazri Ibrahim yang dihubungi mengesahkan pihaknya menggerakkan dua bot untuk memantau situasi itu .

FOTO ini juga turut ditular di media sosial menunjukkan beberapa mangsa sedang menerima rawatan.
FOTO ini juga turut ditular di media sosial menunjukkan beberapa mangsa sedang menerima rawatan.

“Setakat ini, kita menjalankan rondaan rutin di kawasan operasi biasa termasuk berhampiran sempadan Sebatik Kaltara, sambil memantau keadaan perairan negara.

“Negara jiran belum ada meminta bantuan rasmi daripada kita, tetapi jika berlaku kes sebegini lazimnya memang kita akan membantu walaupun belum dihubungi oleh mereka.

“Kita menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa di Nunukan menerusi rendezvous (RV), dan mereka juga akan membantu jika ada kes serupa berlaku di perairan kita,” katanya.

Selain PPM Tawau, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau turut mengerakkan dua bot untuk rondaan rutin dan pemantauan perairan di sempadan.

Ketua Zon Maritim Tawau Kepten (M) Romli Mustafa berkata bantuan operasi mencari dan menyelamat tidak digerakkan kerana belum ada permintaan daripada Indonesia.

“Tetapi usaha pencarian di kawasan perairan kita tetap dibuat namun setakat ini belum ada maklumat rasmi daripada KRI Tawau diterima mengenai kejadian sebenar,” katanya.

Terdahulu, maklumat mengenai kejadian itu tular di media sosial termasuk beberapa gambar yang menunjukkan keadaan mangsa-mangsa yang sudah berjaya ditemui.

  • oleh
  • Advertisement