Anda di sini

Lima khabar gembira untuk warga Kalabakan

Advertisement
SARIFUDDIN (sembilan kanan) meraikan para tetamu yang terdiri daripada berbilang kaum sempena majlis rumah terbukanya bersama Ma’mun di Dewan Sri Tawau.
SARIFUDDIN (sembilan kanan) meraikan para tetamu yang terdiri daripada berbilang kaum sempena majlis rumah terbukanya bersama Ma’mun di Dewan Sri Tawau.

TAWAU: Pembantu Menteri Kewangan Sarifuddin Hata mengumumkan lima khabar gembira khusus untuk warga Kalabakan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidiilfitri anjurannya bersama Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merotai itu berkata, Ketua Menteri sudah meluluskan sebuah pusat pentadbiran baharu diwujudkan di tanah seluas 1, 000 ekar di Kalabakan.

“Kerajaan negeri kini dalam peringkat kajian untuk meletakkan pusat pentadbiran daerah baharu mengikut kesesuaian dan mungkin kita akan tempatkan di Kalabakan,” katanya.

Sarifuddin berharap sekiranya daerah baharu Kalabakan dapat diwujudkan kelak, perkembangan itu akan turut merangsang perkembangan ekonomi penduduk sekitar.

Mengulas lanjut, beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan negeri kini dalam perancangan untuk membina jalan raya dari Tawau tembus ke sempadan Indonesia.

“Kita harap kemudahan jalan raya ini nanti akan dapat dimanfaatkan untuk menarik lebih ramai pelancong dan peniaga dari Indonesia, sekaligus memajukan lagi Kalabakan.

“Perkara ketiga, kita juga merancang pembangunan 100 ekar tanah melalui Sabah Economic Development Corporation (Sedco) di Kg Kijang Merotai Besar.

“Projek pembangunan ini dijangka siap beberapa bulan lagi, dan kita juga dimaklumkan ada 100 ekar lagi akan dibangunkan, bermakna sebuah pekan kecil baharu di Merotai akan diwujudkan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan meneruskan projek tebatan banjir melibatkan kos bernilai RM20 juta yang sudah diluluskan pada Rancangan Malaysia Ke-11 sebelum ini.

Beliau berkata, sebanyak RM6.5 juta daripada jumlah peruntukan itu sudah digunakan untuk kerja-kerja melurus, melebar dan mendalamkan sungai dari Jambatan Putih hingga bypass ke jambatan Pasir Putih.

“Ada RM13.5 juta lagi untuk kita teruskan projek itu sampai ke laut, tetapi ada 57 rumah yang akan dibongkar di Kg Pasir Putih melibatkan peruntukan pampasan RM7 juta.

“Penilaian jumlah pampasan ini dilakukan bersama oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Perbandaran Tawau serta Jabatan Tanah dan Ukur,” katanya.

Pemimpin itu berkata, pelaksanaan projek itu diharap dapat menyelesaikan keluh kesah penduduk yang selama ini dibelenggu dengan masalah banjir semenjak sekian lama.

Perkara kelima pula, beliau mendedahkan kesediaan Kementerian Kewangan untuk membuka semula perdagangan barter-trade yang ditutup semenjak 2016.

“Dalam masa dua minggu lagi, kita akan minta pasukan keselamatan memberi taklimat keselamatan kepada kerajaan negeri dan jika tidak ada halangan, kita akan buka.

“Tetapi jika ada halanganpun, kita akan berusaha untuk memastikannya dapat dibuka beroperasi semula untuk memberikan peluang kepada peniaga kita berniaga,” katanya.

Sarifuddin berkata, polisi atau dasar sesebuah negeri bergantung kepada kerajaan negeri dan setiap masalah yang berlaku perlu diberi perhatian termasuklah soal keselamatan.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan negeri berhasrat untuk menyemak semula penempatan tentera di Kem Lok Kawi supaya ditempatkan di lokasi-lokasi strategik.

“Kita akan menempatkan semula (askar) di tempat-tempat strategik yang ada ancaman keselamatan, seperti di Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement