Anda di sini

Kemahiran TVET di politeknik terus jadi pilihan

Advertisement
 Nazri (dua kiri) menendang bola sebagai tanda merasmikan Penutupan MSK Pelajar Baharu Politeknik Kota Kinabalu Sesi Jun 2018.
RASMI TUTUP: Nazri (dua kiri) menendang bola sebagai tanda merasmikan Penutupan MSK Pelajar Baharu Politeknik Kota Kinabalu Sesi Jun 2018.

KOTA KINABALU: Bidang kemahiran atau pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diperkasakan di politeknik seluruh Malaysia terus menjadi pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian.

Pengarah Politeknik Kota Kinabalu (PKK) Zainab Othman berkata, bagi kemasukan pelajar baharu sesi Jun di PKK sahaja sudah menunjukkan peningkatan ketara iaitu seramai 893 orang bagi tahun ini, melebihi norma pelajar seramai 835 orang bagi sesi yang sama.

Katanya, faktor peningkatan bilangan kemasukan pelajar baharu bagi sesi itu adalah disebabkan kebolehpasaran graduan yang tinggi di institut berkenaan.

“Kadar kebolehpasaran yang tinggi iaitu pada kadar 94.72 peratus di Politeknik Kota Kinabalu khususnya, adalah antara faktor utama pelajar memilih institusi ini untuk meneruskan pengajian mereka di peringkat yang lebih tinggi.

“Saya yakin momentum kebolehpasaran ini akan terus meningkat pada masa akan datang dan seterusnya usaha mencapai visi PKK untuk menjadi institusi TVET yang unggul di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menjelang tahun 2020 akan menjadi realiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Minggu Suai Kenal (MSK) Pelajar Baharu Politeknik Kota Kinabalu Sesi Jun 2018, di sini pada Khamis.

Jainab berkata, sambutan yang memberangsangkan dari kalangan ibu bapa juga membuktikan bidang TVET semakin diberi keutamaan, berdaya saing dan lebih menjamin peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.

Kemasukan sesi Jun 2018 menyaksikan 90 peratus pelajar adalah berasal dari Sabah, diikuti 4 peratus dari Wilayah Persekutuan Labuan, 3 peratus dari Sarawak, manakala selebihnya adalah pelajar dari Semenanjung Malaysia.

Kesemua pelajar baharu mengikuti MSK selama enam hari bermula 24 hingga 29 Jun, bagi memberi pendedahan tentang organisasi PKK.

Sementara itu, Pengarah Urusan Dinhar Group merangkap Ahli Jawatankuasa Penasihat Industri PKK Nazri Abdul Razak berkata, institusi Pendidikan TVET seperti PKK adalah landasan terbaik dan memainkan peranan penting dalam kerangka pembangunan negara bagi meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir menjelang 2020 dan tahun berikutnya.

Justeru, beliau mengajak semua pelajar PKK supaya lebih proaktif mengambil peluang itu secara maksimum dan mempunyai inisiatif memajukan diri dalam pelbagai bidang sama ada dalam aspek kecemerlangan akademik, sahsiah, inovasi, keusahawanan, kesukanan mahukan kemahiran insaniah.

“Gunakan kesemua kemudahan atau prasarana di politeknik ini sebaik mungkin untuk membina kecemerlangan diri anda semua. Suka saya tekankan di sini, pendidikan dan sukan berpisah tiada, ini adalah kerana keseimbangan keperluan untuk diri dan negara kita.

“Selain itu, para pelajar diharap memperkayakan kreativiti dan inovasi masing-masing. Keluarkan kreativiti dan kekuatan pemikiran serta daya imaginasi yang ada dalam diri anda untuk menjadi modal insan unggul bertaraf dunia,” katanya ketika berucap merasmikan majlis itu.

Dalam pada itu, Nazri juga mengingatkan pelajar supaya tidak terlibat dalam sebarang budaya tidak sihat seperti gejala buli, isu gangterisme, berpasangan lelaki dan perempuan, dan sebagainya yang hanya akan merosakkan masa depan.

Advertisement