Anda di sini

Empat penyamun kedai serbaneka ditahan

Advertisement
PAKAIAN serta pisau yang dirampas daripada suspek.
PAKAIAN serta pisau yang dirampas daripada suspek.

KOTA KINABALU: Polis menahan empat lelaki selepas menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di sebuah pusat beli belah 24 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, keempat-empat suspek berumur 25 hingga 31 tahun ditahan dalam empat siri serbuan bermula 27 hingga 29 Jun.

“Kejadian berlaku apabila suspek berpura-pura masuk ke dalam premis untuk membeli sebungkus gula-gula.

“Semasa berada di depan kaunter pembayaran suspek mengeluarkan sebilah parang pendek sebelum mengacukan kepada penjaga kaunter warga tempatan berumur 18 tahun,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian mengarahkan mangsa untuk menyerahkan wang RM1,330 di dalam mesin sebelum melarikan diri.

“Bertindak dengan kejadian, polis menahan empat suspek termasuk ketua yang dikenali sebagai Cip berasal dari Likas.

“Tiga lelaki lain dipercayai rakan sejenayah suspek turut ditahan termasuk seorang dari Keningau,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas sebilah pisau berwarna kuning berukuran kira-kira 33 sentimeter, pakaian serta telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk menyamun.

"Dipercayai rakan suspek menggunakan kenderaan khidmat Grab selepas selesai melakukan jenayah," katanya.

Chandra berkata, suspek utama iaitu Cip direman dari 28 Jun sehingga 4 Julai manakala tiga suspek yang lain 29 Jun sehingga 2 Julai.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 329/397 iaitu samun tanpa senjata api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda dan boleh dikenakan sebatan jika disabit kesalahan.

"Dengan tertangkapnya kesemua suspek terbabit, pihak polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes samun lagi di sekitar Kota Kinabalu," katanya.

“Pemandu Grab perlu berhati-hati terhadap pelanggan yang menaiki kenderaan dan dinasihatkan menghubungi pihak polis jika terdapat perlakuan yang mencurigakan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement