Anda di sini

Ahmad Zahid presiden baharu UMNO

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) dipilih sebagai presiden baharu parti itu, menurut status terbaharu akaun Twitter Pemilihan UMNO 2018 yang dikendalikan sekretariat pemilihan parti itu hari ini.

“Secara rasminya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi @Zahid_Hamidi adalah Presiden UMNO yang ketujuh.

“Selamat menjalankan tugas diucapkan kepada Datuk Seri. Demi Agama, Bangsa dan Tanah Air,” menurut catatan dalam akaun Twitter tersebut.

Pada pemilihan parti itu hari ini, Ahmad Zahid, yang sebelum ini adalah naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden, mendapat 93 undi jauh mendahului dua pencabar utamanya iaitu bekas Ketua Pemuda Khairy  Jamaluddin Abu Bakar yang mempeoleh 51 undi dan veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah (23 undi).

Jawatan timbalan presiden pula dimenangi Ketua UMNO Bahagian  Rembau dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang menewaskan pencabarnya Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

“Secara rasminya Datuk Seri Utama Mohamad Hasan @tokmatn9 adalah Timbalan Presiden UMNO yang baharu. Selamat menjalankan tugas diucapkan kepada Datuk Seri. Demi Agama, Bangsa dan Tanah Air,” menurut catatan akaun twitter berkenaan.  

Perebutan tiga jawatan naib presiden pula menyaksikan Anggota Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendahului dengan 16 undi, diikuti Datuk Seri Johari Abdul Ghani (15 undi), Datuk Seri Mahdzir Khalid (14 undi) dan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin (13 undi).

Kiraan undi itu adalah setakat  8.23 malam tadi.  - Bernama
 

Advertisement