Anda di sini

34 pelajar cemerlang Sabah terima biasiswa Petronas

Advertisement
 Jaujan Sambakong bersama kakitangan awam pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan di Wisma Innoprise semalam. — Gambar Bernama
RUMAH TERBUKA AIDILFITRI: Jaujan Sambakong bersama kakitangan awam pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan di Wisma Innoprise semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Seramai 34 pelajar cemerlang Sabah menerima biasiswa daripada syarikat petroleum negara, Petronas, menerusi Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) tahun ini.

Mereka adalah sebahagian daripada 300 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 yang menerima biasiswa PESP itu.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob, yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyampaikan biasiswa itu kepada pelajar berkenaan pada majlis penyampaian  PESP di sini, semalam.

Mohd Shafie, dalam teks ucapannya yang dibacakan Yusof, berkata kerajaan negeri menyokong penuh usaha Petronas menyemarakkan bidang pendidikan menerusi PESP yang membolehkan pelajar cemerlang Sabah melanjutkan pengajian tinggi di universiti tempatan dan antarabangsa.

“Ia membabitkan kos pengajian serta sara hidup tinggi. PESP menyediakan sumber bagi membolehkan para pelajar mendapatkan pedidikan terbaik dengan mereka akhirnya membawa pulang ilmu yang dipelajari dan diterapkan dalam bidang profesional seterusnya membawa manfaat kepada kita semua,” katanya.

Pengerusi Petronas Tan Sri Sidek Hassan pula berkata sejumlah  RM113 juta diperuntukkan bagi PESP di seluruh negara tahun ini.

Sejak diperkenalkan pada 1975, PESP telah memanfaatkan kira-kira 36,000 pelajar dengan anggaran pelaburan sebanyak RM3 bilion, katanya.

Sementara itu, penerima biasiswa PESP, Mohd Syukri Atika Lakadir, 18, berkata beliau sememangnya berharap menerima biasiswa Petronas itu kerana ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan  Kimia di Universiti Teknologi Petronas bagi merealisasikan cita-citanya sebagai jurutera.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan, Tawau, itu yang memperoleh 9A 1B dalam peperiksaan SPM juga berazam menyertai Petronas untuk mengikut langkah Naib Presiden Aset Antarabangsa Petronas Bacho Pilong yang menjadi idolanya untuk cemerlang dalam bidang kejuruteraan.

“Beliau (Bacho) berasal dari Sebatik (Tawau) dan saya juga berasal dari sana. Beliau adalah antara pencetus semangat saya untuk memilih bidang kejuruteraan kimia dan berazam menyertai pengurusan Petronas sepertinya,” kata pemuda itu.

Nazera Samsool, 18, dari Sandakan pula berharap biasiswa itu dapat meringankan beban keluarganya  kerana bapanya Samsool Samian, 51, bekerja sebagai buruh kilang sawit, manakala ibunya Jalmah Taip, 46, suri rumah.

Nazera, yang akan mengikuti asasi perakaunan selama dua tahun di Kolej Yayasan UEM Selangor sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya di United Kingdom, berharap biasiswa itu akan membantunya mencapai cita-cita menjadi akauntan berjaya nanti.

Pada majlis itu, seramai 42 pelajar Maktab Rendah Sains MARA Sabah dan 63 pelatih yang mengikuti latihan vokasional di bawah program Penajaan Institut Vokasional dan Bantuan Latihan (VISTA) turut menerima biasiswa daripada Petronas. — Bernama

Advertisement