Anda di sini

Petkovic menegaskan beliau buat keputusan yang tepat

Advertisement
 Behrami berjabat tangan dengan Petkovic (kanan) ketika dikeluarkan pada  separuh masa kedua perlawanan Kumpulan E di antara Switzerland vs Costa Rica di Stadium Nizhny Novgorod, Rusia Rabu lepas. — Gambar Reuters
LANGKAH TERBAIK: Behrami berjabat tangan dengan Petkovic (kanan) ketika dikeluarkan pada separuh masa kedua perlawanan Kumpulan E di antara Switzerland vs Costa Rica di Stadium Nizhny Novgorod, Rusia Rabu lepas. — Gambar Reuters

NIZHNIY NOVGOROD, Rusia: Jurulatih Switzerland menegaskan beliau membuat keputusan tepat menurunkan skuad terkuat menentang Costa Rica walaupun dua pemain pertahanan berpengalamannya tidak akan dapat beraksi menentang Sweden di pusingan kedua kerana menerima kad kuning.

Kapten pasukan, Stephan Lichsteiner dan Fabian Schaer – dua pemain yang bermain hampir 150 kali untuk Switzerland – tidak akan dapat beraksi menentang Sweden pada 3 Julai selepas menerima kad kuning kedua mereka pada kejohanan ini.

Tetapi jurulatih Vladimir Petkovic berkata sasaran utama beliau ialah untuk layak ke peringkat kalah mati kejohanan dan apa yang berlaku selepas itu akan difikirkan kemudian.

“Objektif utama ialah layak ke pusingan kedua, kami harus memastikan kami melakukannya,” kata Petkovic selepas pasukannya seri 2-2 untuk memberikan Switzerland satu mata yang diperlukan untuk meneruskan kemaraan.

Perlawanan menyaksikan penamat agak mengecewakan di mana Switzerland mendahului kedudukan sebanyak dua kali, kali kedua pada minit ke-88 sebelum gol sendiri minit ke-93 oleh penjaga gol Yann Sommer dari satu tendangan penalti Bryan Ruiz untuk mengikat kedudukan.

Switzerland layak ke pusingan kalah mati dengan lima mata dari tiga perlawanan, di belakang juara kumpulan, Brazil.

“Sebelum perlawanan, saya berkata ketika itu di mana saya mahu menurunkan skuad terbaik saya,” tambah beliau.

“Kami mempunyai 23 pemain dalam skuad. Ia mengecewakan kepada dua pemain (menerima kad kuning) tetapi ia terlalu lewat untuk memperbetulkannya.”

Memulakan perlawanan menentang Costa Rica, Switzerland mempunyai empat pemain utama yang menerima satu kad kuning.

Selain Lichtsteiner dan Schaer, pemain tengah, Valon Behrami dan perancang, Xherdan Shaqiri juga berisiko digantung perlawanan jika menerima satu lagi kad kuning.

Petkovic mengeluarkan Behrami dan Shaqiri pada separuh masa kedua untuk mengelak nasib yang sama menimpa dua pemain utama menjelang perlawanan menentang Sweden.

Lichtsteiner dan Shaqiri sudah mengelak penggantungan menentang Costa Rica kerana meraikan gol dengan isyarat berbau politik ketika kemenangan ke atas Serbia.

Ancaman penggantungan dua perlawanan bagaimanapun tidak diteruskan dan sebaliknya mereka hanya didenda.

Jika Switzerland menewaskan Sweden di pusingan kedua, ia adalah kali pertama pasukan dari Switzerland layak ke peringkat suku akhir sejak 1954.

Petkovic enggan bercakap lebih jauh tentang lawan yang menjuarai Kumpulan F selepas menewaskan Mexico 3-0 pada perlawanan terakhir mereka. — AFP

Advertisement