Anda di sini

Penyelam, tentera asing bantu Thailand

Advertisement
 Anggota tentera AS keluar dari gua Tham Luang ketika menyertai usaha menyelamat 12 kanak-kanak bersama jurulatih mereka yang terperangkap di dalam gua tersebut di wilayah Chiang Rai, Thailand semalam. — Gambar Reuters
SEDIA BEKERJASAMA: Anggota tentera AS keluar dari gua Tham Luang ketika menyertai usaha menyelamat 12 kanak-kanak bersama jurulatih mereka yang terperangkap di dalam gua tersebut di wilayah Chiang Rai, Thailand semalam. — Gambar Reuters

MAE SAI: Pasukan kakitangan tentera Amerika Syarikat (AS) dan penyelam Britain telah menyertai usaha menyelamat di sebuah gua yang ditenggelami air di utara Thailand di mana 12 kanak-kanak dan jurulatih bola sepak mereka terperangkap selama lima hari ketika hujan lebat semalaman mengganggu usaha itu.

Air banjir yang memasuki ruangan kedua di gua Tham Luang di wilayah Chiang Rai telah memaksa beberapa penyelam berpatah balik, kata pihak berkuasa.

Kanak-kanak, berusia di antara 11 dan 16 tahun, memasuki gua itu pada Sabtu lepas dan terperangkap ketika hujan lebat menyebabkan jalan masuk utama tersumbat.

Kira-kira 1,000 anggota SEAL Tentera Laut, polis, tentera, pengawal sempadan dan pihak berkuasa telah dikerahkan untuk usaha menyelamat sepanjang masa di sebuah wilayah pergunungan sempadan terpencil berhampiran sempadan Laos dan Myanmar.

Sepasukan kakitangan tentera AS dari Pusat Ketumbukan Pasifik AS , termasuk anggota separa penyelamat dan pakar ikhtiar hidup, telah tiba di kawasan tersebut semalaman bagi membantu operasi menyelamat, kata jurucakap kedutaan.

“Mereka telah dilatih dengan taktik penemuan kakitangan dan beberapa teknik serta prosedur,” kata Jillian Bonnardeaux.

“Pada asasnya apa yang mereka mahu lakukan adalah menilai bersama pihak berkuasa Thai mengenai tindakan yang berpotensi untuk diambil dan membantu usaha yang sedang dilakukan,” tambah beliau.

Tiga pakar penyelaman gua dari Britain tiba di tempat kejadian pada lewat kelmarin serta sudah memasuki gua dengan peralatan penuh sebelum muncul semula kira-kira sejam kemudian.

“Kami mempunyai satu tugas yang harus dilakukan,” kata penyelam John Volanthen ketika beliau masuk ke dalam terowong, menolak untuk mengulas lanjut.

Ahli keluarga yang keletihan telah berkhemah berhampiran jalan masuk utama ke gua selama beberapa hari menunggu dalam keadaan tidak sabar bagi berita mengenai pasukan yang hilang bersama jurulatih mereka yang berusia 25 tahun.

“Saya berasa sedih. Saya mahu anak lelaki saya selamat, kami masih belum mendengar sebarang berita rasmi lagi,” Thinnakorn, bapa kepada seorang budak lelaki berusia 12 tahun di dalam gua, memberitahu AFP.

Hujan lebat semalaman menyebabkan paras air naik malah ketika beberapa pam air bertekanan tinggi telah diletakkan di dalam gua bagi mengepam air keluar.

Banjir tersebut telah menyebabkan anggota penyelamat keluar dari terowong ketika hujan lebat turun semalaman.

“Anggota penyelam sekarang sudah bersedia untuk masuk ke dalam sebaik sahaja paras air turun kepada satu peringkat yang sesuai,” SEAL Tentera Laut Thai menyata-kan dalam laman Facebook mereka semalam.

Anggota pengawal sempadan bersama dengan anjing polis telah memeriksa kawasan bagi sebarang lubang baharu ke dalam gua, yang sepanjang beberapa kilometer.

Ahli keluarga telah membawa pakaian milik kanak-kanak bagi membantu anjing pengesan yang mencari mereka.

Pasukan pencari telah menemui tiga lubang baharu pada minggu ini, namun hanya satu lubang yang dapat dimasuki.

Gua Tham Luang adalah tarikan terkenal bagi pelawat tempatan semasa musim kering, dan terdapat satu papan tanda di jalan masuk utama memberi amaran kepada pelancong agar tidak masuk semasa musim hujan dari Julai hingga November.

Pihak berkuasa menyata-kan pasukan bola sepak dan jurulatih mereka Ekkapol Janthawong pernah masuk ke dalam gua itu sebelum ini dan mengetahui gua itu dengan bagus.

Gambar dalam laman Facebook milik Ekkapol menunjukkan beliau bersama beberapa pemain bola sepak muda di dalam gua pada 2016.

Pencarian besar-besaran itu telah menarik perhatian seluruh Thailand, di mana media tempatan diselubungi dengan liputan mengenai kehilangan kanak-kanak tersebut.

Gua itu terkenal sebagai  sebuah kawasan sukar bagi penyelam berpengalaman disebabkan oleh rangkaian terowong dan kolamnya yang rumit. — AFP

Advertisement