Anda di sini

Azafarezal sandaran jentera skuad B

Advertisement
 Azafarezal (depan) bakal memperkuatkan jentera serangan skuad Piala Presiden Sarawak.
BINTANG BAHARU: Azafarezal (depan) bakal memperkuatkan jentera serangan skuad Piala Presiden Sarawak.

KUCHING: Skuad Piala Presiden Sarawak mengikat penyerang muda, Azafarezal Harun sebagai sandaran untuk mengharungi baki perlawanan kempen yang akan berakhir pada hujung bulan depan.

Pemain kelahiran Kampung Manggut Spaoh, Betong itu mendapat kepercayaan barisan jurulatih skuad B itu selepas beliau mempamer aksi cemerlang ketika beraksi dalam saingan Piala Belia.

Kelincahan dan kepantasan dimiliki Azafarezal akan menjadi senjata utama Sarawak di jentera serangan.

Kemampuan pemain berusia 20 tahun itu bakal diuji apabila Sarawak melayan kunjungan Perak pada perlawanan berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya 19 Julai depan.

“Terima kasih kepada pihak Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) termasuk jurulatih kerana memberi saya peluang untuk menyertai skuad Piala Presiden.

“Sudah tentu saya akan berusaha memberikan yang terbaik kepada pasukan dan fokus pada setiap perlawanan jika diberi peluang untuk turun dalam kesebelasan utama,” ujar Azafarezal kepada Utusan Borneo semalam.

Menurut Azafarezal, beliau akan menggunakan sepenuhnya pengalaman ketika mewakili skuad Piala Belia (2016/2017) untuk membantu skuad barunya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Abang Fomay Abang Sa’adeli berharap kehadiran Azafarezal akan dapat mengatasi masalah jentera serangan skuad itu ketika ini.

“Kita berharap kehadirannya (Azafarezal Harun) akan dapat mengatasi masalah skuad di jentera serangan.

“Beliau seorang pemain yang berbakat dan boleh pergi dengan lebih jauh jika terus mengekalkan persembahan konsisten dalam setiap perlawanan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement